Sabtu, 13 April 2013

titipan cinta

Assalamualaikum. 

Pagi hari aku menemani Bahia ke perpustakaan KL di dataran merdeka. Satu hal yang kurang best di library ini (walaupun tempatnya tenang dan selesa) adalah susahnya aku  nak cari buku-buku sastera melayu. Yang kelihatan jelas hanya Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh dan beberapa buah buku lain. Akhirnya mencapai buku tebal Shakespear dan borak-borak tentang Hamlet dan puisi Sonet 18 - nostalgia zaman sekolah. 

Hall I compare thee to a summer's day?
Thou art more lovely and more temperate.
Rough winds do shake the darling buds of May,
And summer's lease hath all too short a date.
Sometime too hot the eye of heaven shines,
And often is his gold complexion dimmed;
And every fair from fair sometime declines
.....

berjalan dalam panas, makan, naik tren kemudian terus bergerak ke masjid Assyakirin, KLCC. Semasa menunggu di depan kedai rotiboy, dari jauh dah nampak kak Jamilah yang manis bertudung ungu. Aku tersenyum ceria bila melihat senyumannya. Rindunya dengan dia! Tiba-tiba kak Jamilah menghulur sebuah beg kertas corak teddy bear yang berisi bunga coklat dan... teddy! 

alhamdulillah.

Cik Ted dapat adik baharu, yang kecil dan comel. Namanya Putih. hee



hadiah ulangtahunku. Kakak, terima kasih! 

kemudian, kami bertiga terus bergerak ke Kinokuniya. Jalan-jalan cuci mata tengok orang-orang apabila bertemu dengan buku, menghidu harum bau buku, belek-belek buku, cakap-cakap pasal buku, pilih-pilih buku, akhirnya menyambar; 




Buku yang masih belum habis baca;p

Banyak buku-buku Pramoedya Ananta Toer memenuhi rak. Bumi Manusia, Anak Bangsa, Rumah Kaca, Gadis Pantai dll. Rasa macam nak dapatkan semua. Tapi bajet tak mencukupi. dan mula sedapkan hati, "aku beli kat pesta buku nantilah." tengok orang sebelah, banyaknya buku dalam pelukan kak Jamilah. 

dalam jam 3, barulah berhenti belek buku dan naik ke tingkat atas - Coffe Club Express untuk melihat pelancaran buku puisi dekan SN Dato' Anwar Ridhwan, "Tercipta Dari Tanya" terbitan ITBM. Menurut sumber, buku yang mengandungi 99 buah puisi ini tercipta daripada pertanyaan demi pertanyaan akan persoalan yang sentiasa membayangi kehidupan manusia. Persoalan yang ditimbulkan adalah perkara asas tentang pengertian mistik dalam kehidupan, sebab-musabab kejadian serta pengakhiran dan perjuangan hidup. - ITBM. 

sumber: ITBM

harganya RM40 sahaja. 

dalam beberapa minit kemudian, aku turun semula ke tingkat bawah mengekori kak Jamilah yang kembali ke rak-rak buku. hu. Lalu, kak Jamilah memilih dan menghadiahkan aku sebuah buku Pramoedya, Rumah Kaca. Antara buku yang sudah dalam pelukan aku lalu aku kembali meletakkan ke susunan rak. dan kak Jamilah membuatkan aku tersenyum lagi. alhamdulillah. Bertambah koleksi buku di kutubkhanahku. Terima kasih banyak-banyak kak! 

Kak Jamilah dan Bahiah


titipan cinta (buat kak Jamilah yang baik)

hari ini kau bertudung ungu, menyambutku
dan senyumanmu yang selalu buat
-aku rindu
rindu yang menyatukan hatiku
dengan kalbumu

kelopak yang layu semalam
kudupnya bertukar mekar, seperti aku
dengan temu mata, senyum bunga
titipan cinta yang kau beri;
- bunga coklat, Putih comel dan Rumah Kaca
yang istimewa hadiah untuk jiwa
ingatan yang kukenang
sepanjang waktuku. 

kak
yang meneguhkan jiwamu dan jiwaku
yang mendekatkan hatiku dan hatimu
adalah ukhuwah cinta
yang dititipkan oleh Dia

kak
kata T Alias Taib dalam sajaknya;
"persahabatan seperti
mendewasakan pokok
dalam kemarau dan ribut."
-
izinkan aku terus mendampingi tulisanmu
dalam kejauhan
yang mendekatkan.

Nur Suhada
| 13 April 2013, Kinokuniya KLCC |

Jumat, 12 April 2013

malap

Ada satu kerlip bintang yang amat ingin bertahan
                                awan menipis, bulan menutup sebelah wajah.


                                     Ada satu butir sirius yang amat ingin berkerdipan
                                                          mendung mengatup, bulan menutup seluruh wajah. 

Senin, 01 April 2013

nak baca... Warkah Eropah



Warkah Eropah ialah suatu pengembaraan intelektual. Diari, surat, catatan dan lakaran tentang pemikir, sarjana, sasterawan dan orang banyak. Juga suara rasa perantau yang rindu, resah, luka dan cemas. 

status sekarang;
Saya nak baca buku itu!

Kamis, 21 Maret 2013

Menulis itu adalah cinta.

Assalamualaikum.

kususun aksara dengan tinta
ilham hati dari Ilahi yang dipinta
selembar kisah kalamku bercerita
warnanya bagai pelangi yang tercipta
dari mimpi-mimpi, anganku jadi nyata. 

Tuhan, terima kasih 
menurunkan hujanan kata
yang selalu menguyur adalah cinta
tumbuh subur di jiwa melata! 
.....

Aku sangat rindu pada musim persekolahan yang penuh warna, penuh rona. Kerana detik itu segalanya bermula.

*mengumpul karya puisi dan cerpen. 

Dahulu, waktu yang paling aku tunggu adalah hujung minggu ketika abang atau kakakku membeli surat khabar Berita Minggu (masa tu karya kreatif disiarkan pada hari sabtu) dan karya yang tersisip dalam akhbar Mingguan Malaysia. Aku juga suka membaca majalah Wanita dan Harmoni kepunyaan kakak untuk aku baca cerpen di dalamnya. Kerana terlalu sayang, selepas memastikan yang mereka sudah selesai membaca, aku akan menggunting keratan akhbar ruangan yang ada cerpen dan puisi. Setelah itu, aku tampal dalam halaman kertas lukisan. Habis surat khabar aku kerjakan. Potong di sana di sini. Kalau ada rencana yang menarik pun aku akan gunting dan simpan. Sayang sekali kalau dibiarkan. Kalau disimpan, bolehlah aku buat rujukan di lain hari.

Aku juga akan mendapatkan akhbar Metro setiap hari Selasa kerana masa tu ruangan karya diserikan dengan novel bersiri Nyanyi Sunyi, nukilan penulis dari Johor yang sangat aku gemari gaya tulisannya - Maskiah Masrom. Aku kumpul setiap minggu walaupun tidak semuanya.



Yang aku rasakan adalah rasa seronok kerana mendapat bahan bacaan percuma. Bertambah seronok bila melihat buku lukisanku dipenuhi cerpen dan puisi. Semakin banyak yang aku kumpul, semakin bertambahlah minat yang terkumpul. Aku suka meng'highlightkan' sesuatu ayat yang cantik. Lalu aku salin semula dalam buku catatanku.

Ia memberi aku inspirasi untuk menulis. Ia memberi aku motivasi untuk berkongsi.

Membaca karya pengarang besar, jiwa dan semangatku pun menjadi besar - untuk mengarang. Persoalan 'kenapa aku ingin menulis?' adalah persoalan yang masih belum kukuh jawapannya. Tuhan, aku ingin istiqamah. Betulkan niatku, tetapkan hatiku. Setiap patah perkataan yang aku tuliskan adalah amanahku.

Sekarang, setelah melewati zaman sekolah, aku sama meninggalkan 'hobi' yang telah mencambahkan rasa cinta pada dunia sastera. Aku lupa pada 'tradisi' lama.

Mungkin aku perlu kembali menyambung hobi kecintaanku itu agar cinta itu terus bertunas dan mekar seperti mula-mula aku berkenalan dengan karya.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” 
Pramoedya Ananta Toer



























Menulis itu adalah cinta. ♥

Jumat, 15 Maret 2013

Sahabat Hati ♥


Kata sahabat hatiku;

"Sekarang Su, mencari teman yang boleh memahami diri dan jiwa ini sukar sekali. Sungguh!"

Dia menitipkan padaku sejambak puisi Khalil Gibran. 

Aku mahu menghayati sajak ini sampai aku terlena, kemudian aku mahu bermimpi aku memeluk tubuh sahabat hatiku yang hangat, sama seperti dia selalu memeluk hatiku. Lalu biarlah kami bercinta dengan alam, dengan warna, bahasa dan lagu alam sambil mengarang kisah yang indah-indah... 

di atas gunung agar dekat dengan bintang (lamanya aku tidak menyebut bintang)
di pesisir pantai agar dekat dengan hujung laut
di taman yang ditaburi mekar kelopak bunga


Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia  menjawab:

Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.

Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

Dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.

Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta, tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.

Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?

Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..

Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.
~ Khalil Gibran

Kataku kepada sahabat hatiku;

"Kawan yang jauh itu rupanya yang paling hampir dengan hati kita, teman!"

Kau punya sahabat hati? 

Aku ada. Sahabat terindah yang ALLAH beri.

Kamis, 28 Februari 2013

Di BSVN: 60 Tahun Latiff Mohidin

Assalamualaikum.

Khamis, 14 Feb 2013

Hari itu, hujan lebat yang turun tidak menghalangiku untuk ke Balai Seni Visual Negara (BSVN). Aku mengikuti teman sekelasku, Kak Shikin yang menemani seorang kawannya yang juga seorang pelukis dan peminat lukisan Latiff Mohidin. Aku memang meminati seni lukisan dan sudah lama berhajat untuk ke BSVN (ingin mengamati hasil karya beliau dan bertemu dengan Latiff Mohidin juga). Dan alhamdulillah, berpeluang bertemu dengan beliau buat pertama kali dan sempat mendapatkan autograf eksklusifnya. Pak Latiff, beliau begitu mesra dengan peminatnya. :)

Sungai Mekong

kupilih namamu kerana aku begitu sepi,
kan kubenamkan dadaku ke dadamu,
kaki kananku ke bulan, kaki kiriku ke matahari,
kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu
namaku ke muara, suaraku ke gunung.

Puisi bertajuk Sungai Mekong yang telah berusia hampir lima dekad ini adalah hasil nukilan Latiff Mohidin yang begitu mengesankan.

Mingguan Malaysia, 16 Disember 2012

Kami melawat ke Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF di Galeri 2A, 2B, 3A & 3B, BSVN yang mempamerkan sejumlah 344 buah karya termasuk lukisan, catan, cetakan dan arca. Aku tidak menghiraukan kain skirtku yang hampir basah lencun kerana terlalu teruja untuk menghayati karya lukisannya yang begitu futuristik. Karya-karya agungnya terhasil daripada kata-kata dan palitan warna untuk menceritakan pelbagai perspektif seni sejak tahun 1960-an lagi.

Pendokumentasian visual, berupa himpunan illustrasi kulit depan buku-buku puisi dan penerbitan lain hasil karya Latiff juga turut dipamerkan.


Dalam bidang seni lukis, beliau mula berkarya sejak tahun 1951. Melalui siri lukisannya seperti Pago-Pago, Mindscap dan Langkawi yang aku perhati, amati, sentuhi dan rasai dengan hati. Sungguh, tidak mudah untuk merungkai rahsia dan kisah yang tersirat di balik hasil lukisannya yang sarat dengan perlambangan  dan makna terutamanya Pago-pago. Dan aku bukanlah pemerhati lukisan yang tajam.


Pameran itu dibahagikan kepada tiga period  masa yang menggambarkan tahap perkembangan artistik Latiff, iaitu Period Formatif - waktu mula mengenal, mempelajari dan meneroka dunia seni rupa, Period Medatif -waktu mendalami peranan dan tanggungjawab beliau sebagai seoarang seniman dan Period Gestural - waktu karya, samada karya seni rupa atau sastera, menunjukkan kematangan dari segi aspek tema, gubahan dan teknik.


Antara lukisan yang dipamerkan
Cat minyak atas struktur kayu

Arca

Aku paling suka dengan lukisan di bawah ini! Lama aku mengamati lukisan yang bertajuk Surah AN-NUR 24 yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin pada tahun 1991. Memerhati sesebuah lukisan, perasaannya tidak sama ketika membaca sesebuah buku. Sukar untuk membaca rahsia dan tafsiran dalam sebuah bingkai lukisan yang tercoret dalam warna-warna, garisan, bentuk yang dilakarkan. 




Latiff Mohidin, dialah penyair-
kata-kata adalah makna
dialah pelukis-
palitan warna adalah kehidupan. 

p/s: Pameran ini akan berlangsung sehingga 13 Jun 2013. 

Kamis, 21 Februari 2013

Emel: Catatan Tengah Malam (i)

Ini kasih aku. Kisah kami berdua. Aku, aku punya teman pena, teman maya, teman sejiwa, teman hati, teman inspirasi, teman motivasi --- namanya ialah kakak. Aku dan kakak yang mempotretkan kisah persahabatan dalam bingkai paling indah. :) 

Yahoo Mail.
From: Kakak
To:  <nursuhada_9218@yahoo.com> 
Sent: Saturday, February 16, 2013 12:35 PM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Assalamualaikum Su. 

Seronok bercuti chinese new year? Kakak baru pergi KL minggu lepas. Tapi, Su pula balik kampung pula. Entah bila boleh kakak lepak-lepak dan  kenal ASWARA. Teringin sangat Su nak tengok bagaimana cara dan metod pelajar aliran sastera belajar. Tentu menarik bukan? Kakak tengok kemahiran Su memberikan komentar dan kritikan sastera pun sudah makin mantap. 

Su, kakak nak tanya pandangan Su, Su ada lihat tak trend penulis-penulis muda yang kurang lebih sebaya kita yang cenderung menghasilkan karya-karya yang lebih bersifat popular daripada mementingkan mutu sastera? Apakah bengkel --- itu tidak cukup untuk mendekatkan dan mendedahkan diri mereka dengan sastera? Sayang Su, yang minat menulis sastera tak ramai, kalau ada pun, sayang mereka masuk jalan berbeza kan. Akak pernah berbincang dengan ---. Mulanya kakak cadangkan agar kita mendekatkan diri dengan golongan penulis sedemikian. Tapi dia tak bersetuju, katanya biarlah kita dengan kerja kita. Karya sastera tak diukur dengan ramai jumlah penulis, tapi kualiti katanya. 1000 karya popular sekalipun tidak mampu menandingi sebuah karya sastera yang tinggi nilainya kan?. Maka akak pun setuju. Bimbang juga Su, semakin lama semakin ramai kawan-kawan kita yang ambil jalan pintas untuk terbitkan buku dengan syarikat buku yang hanya mengejar untung.

Salam sayang dari

kakak...











From: <nursuhada_9218@yahoo.com>
To: Kakak
Sent: Monday, February 18, 2013 1:15 AM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Waalaikumsalam kakak. 

6. Sahabat Akrab

persahabatan seperti
mendewasakan pokok
dalam kemarau dan ribut.
- Catatan Sebelum Tidur, T Alias Taib. 

(i)
Semasa Su menatap bait emel ini, sambil-sambil itu Su sedang menikmati puisi beliau. Itu yang Su kongsikan semula di sini. Nampak lain tak permulaan emel di situ? Haha. Semakin hari pena Su semakin tumpul untuk menulis puisi, kak. Tidak seperti awal-awal dulu. Su benar-benar merasakan menyusun stanza kata dengan padat dan tepu makna begitu sukar berbanding menulis berjela-jela kata dalam cerpen. Tapi Su senang begini, santai mendalami puisi-puisi mereka dalam sepi malam sebelum kelopak mata mengatup. ;) 

(ii)
Itulah, kekadang jodoh bukan milik kita. Tapi apa yang pasti, kakak kena datang sebelum Su final year bulan Jun tahun hadapan ya. Su akan bawa akak bertemu dengan bayang Sita Dewi di balik kelir putih. Su akan bawa akak mendengarkan indahnya irama rebab yang bergemersik. Su akan bawa akak menyelami indahnya wajah lukisan yang terlakar digantung di dinding. Betapa di sini, biarpun nuansanya 'begitu seni', ruangnya sederhana namun Su menemui apa yang Su cari. Mencari nilai seni yang perlu orang Melayu hargai. :)

(iii)
Kata mereka;

"Novel popular mempunyai khalayaknya sendiri dan novel sastera serius mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Itu realiti. Karya sastera serius harus ada cara bagaimana mahu mendapat formula terbaik mahu sukses dan diminati." - SRI DIAH

"Sepertimana novel cinta popular ada peminat tersendiri, novel sastera pula hanya untuk khalayak terpilih. Ini hakikat, sebab tahap pemikiran masyarakat banyak peringkat." - RABECCA ILHAM

"Soal sastera picisan atau novel cinta popular, jika tidak kalian mahu dekati mereka dan menunjuk arah, usah pula dicemuh. Selagi bacaan itu mengundang "rasa" (yang tidak seharusnya ditafsirkan hedonisme semata), ia telah membina nilai dalam diri. Dakwah pun ada peringkat dan khalayak pada cara dan usahanya, demikian sastera."
- WAN ZAIDA WAN YUSSOF

# sumber: status SM Zakir, facebook. 

Berita Harian - 7/2/2011


------------

Su berpendapat, untuk melonjakkan nama sastera dan mengangkat sastera setinggi yang boleh, sayembara seperti yang dianjurkan oleh ITBM-PENA itu antara usaha yang mampu merealisasikannya. Siapalah yang tak suka dapat hadiah beribu-ribu kan. Haha. Su terkilan sebab tak dapat masuk sayembara tu. Sebab Su masih belum mampu, kak. 

Ya, Su sendiri memerhati perkembangan dunia sastera di sini. Yang paling dekat dengan Su. Su masih berbangga. Kerana kita tidak semuanya sama. Pasti punya jiwa dan ideologi yang berbeza. 

Ya, ini hakikat. Hakikat yang sudah terikat - bak kata Kak Rabecca. 

Dari situlah Su mula melihat, menilai kembali dunia sastera yang didiami penulis muda. Kita melihat antara hakikat dan pengaruh yang terikat. Hakikat yang Kak Rabecca bicarakan itu. Dan juga mengenai khalayak yang Sri Diah kongsikan itu. Teman  Su sendiri pun tidak begitu meminati karya sastera, kak. Bagi mereka, karya sastera terlalu susah untuk difahami. Mereka menginginkan bacaan yang mudah namun bermakna. Tapi menurut Su, bacaan sastera itu istimewa dan begitu bernilai kerana ketinggian pemikiran dan bahasanya itulah! Hmm, Su bersetuju dengan pandangan ---. Kita buat kerja kita masing-masing. Tapi bukanlah bermaksud tidak peduli langsung kan. Namun dalam masa yang sama Su bersetuju dengan kakak, kita boleh mendekatkan diri dengan golongan penulis itu. Dan untuk berusaha ke arah itu, kita memerlukan pendekatan tidak mengecilkan hati mana-mana pihak. Seperti kata Wan Zaida itu, karya popular tidak boleh dicemuh. Ia masih dipanggil karya dan masih punya sesuatu yang mungkin memberi sedikit kepada pembaca walaupun sangat berbeza taraf nilainya dengan sastera. 

Barangkali kita boleh menghasilkan bacaan sastera yang lebih santai untuk permulaan mendekatkan diri kepada pembaca untuk mengenali sastera. Kita tidak boleh memaksa pembaca untuk menjiwai sesuatu sama seperti apa yang kita rasakan. Kita tidak boleh meminta mereka membaca karya sastera secara terus tanpa ada permulaan. Untuk memulakan pastilah dari sesuatu yang lebih kecil sifatnya. Dan sudah tentulah memerlukan waktu dan gerak usaha yang berterusan. Sastera harus dikomersilkan, harus meluaskan pengaruhnya ke daerah yang lebih besar. Kalau bengkel sastera untuk orang sastera saja, macam mana nak kenalkan sastera dengan orang yang tak tahu apa itu sastera? Su pasti, sastera harus bermula dari akar umbi, dari sastera kanak-kanak dan sastera remaja. Sejak dari peringkat sekolah. 

Di Malaysia, ramai penulis yang datang dari latar belakang yang berbeza dan kewujudan penerbitan buku yang banyak. Tapi tidak semua penulis yang berjiwa sastera. 

Kakak,  

Yakin dengan cinta kita yang sentiasa tumbuh subur di jiwa, dalam kehidupan. Sastera akan tetap kukuh di persada. Tugas kita adalah untuk memperjuangkannya untuk melestarikan sastera sesuai di tempatnya dan zamannya meski dunia semakin moden. Kak, percaya akan kemampuan kita, keupayaan pena kita, ketinggian akal budi dan idealisme kita walaupun sumbangan kita hanya sekecil zarah. 

Teringat kata pensyarah Su dalam kuliah, "Buku, novel dan akhbar mungkin semakin berkurangan dalam jangka masa 5, 6, 7, 8 atau 10 tahun lagi. Kerana dunia semakin maju. Pembaca pasti mahu mendapatkan bacaan bermutu yang lebih pantas dengan teknologi yang baharu." 

Waa, Su tak boleh bayangkan! Bagaimana dengan masa depan dunia buku dan sastera? 

Kak, moga CINTA kita itu tidak mati dalam mengharungi dugaan di arus zaman. Harapan Su, harapan kakak, harapan kita semua.

YA ALLAH, peluklah doa kami ini. 

Seorang pengarang, senjatanya adalah pena dan lembaran
fikirnya adalah kehidupan dan perjuangan
hatinya adalah cinta dan sayang. 
- Catatan tengah malam (i), Nur Suhada. 

Salam cinta,
Su... ♥

Wassalam. 

Rabu, 06 Februari 2013

Lagu Puisi dan Cinta

Assalamualaikum. 

Semalam dan cinta

Malam itu, aku duduk memeluk tubuh di tangga, ambil angin, melihat langit yang tidak berbintang. Dua orang teman datang menghampiriku. Kami duduk bertiga. Berkongsi kisah dan gelisah. 

kawan berambut pendek bagi teka teki;

"Dalam banyak-banyak kera, kera apa yang pandai menaip?" 

"Kera sumbang?" Aku cuba. 

"Salah." 

"Kera... kera..." kawan satu lagi yang bercermin mata dah tak tahu nak jawab apa. Aku pun dah malas nak pikir. 

"Surrender?" Dia angkat-angkat kening. 

"Yelah..." 

Kami buat muka. Kawan kami yang sorang tu memang suka bagi teka teki yang jawapannya punyalah susah kami nak cari. 

"Jawapannya adalah... KERANI! hahahaha!" Dia ketawa terbahak-bahak. 

heh

dan sepi yang membeku waktu itu terus mencair. 






Malam ini dan lagu puisi

Aku suka pada lagu puisi, lagu untuk hati. Masa mengarang atau menyiapkan tugasan, kekadang sepi itu membekukan. Bak kata Rendra, sepi menjadi kaca. Lagu puisi selalu mengilhamkan. Lagu yang punya jiwa. 

Aku pun bukan tahu sangat pasal lagu puisi. Dan kawan-kawan yang baik hati yang selalu beri inspirasi hehe. Jadinya, aku tahu la serba sedikit siapa Ahmad Ramli, Ebiet G Ade selain Kopratasa dengan lagu Permatanya dan juga Zubir Ali dengan lagu Doa - puisi Chairil Anwar. 

Sedap oo lagu puisi ni! 

Katakan padaku
sejak puisi mengalir
sejak langit meratap
mengapa air mataku
terasa baru bagai embun
terasa baru

Burung rembang membuka sayap
daun daun menjadi lebih redup
aku lewat lagi berdayung di depan mu
kau siap lagi berdiri di tebing
semua pohon menjadi sepohon di samping mu
semua detik menjadi sedetik di matamu
sungai ini pun terasa betapa gemuruh
menyambut semarak api di bahumu
katakan padaku
sejak malam menjelma
sejak maut menyentuh
mengapa sepi jiwamu
terasa baru bagai pedihku
terasa baru.

* Katakan Padaku - Puisi Latiff Mohidin. Nyanyian lagu Ahmad Ramli. 

Lagu sebelum terlena. 

Esok dan cinta

"Dik, raya cina balik bila dan cuti berapa hari? Kak Ana nak set masa pergi sana ni." - Mesej dari kakak. 

"Kak, kita balik esok lepas habis kelas. Cuti seminggu hehe. Rindunya dengan Naufal!" 

"Heheh Naufal pun dah rindu dengan mak usu dia. Nanti kak Ana buatkan resipi baru.. jemput-jemput oh cekodok ceria.. kehkeh." 

Haha. Aku ketawa. Hilang sekejap lenguh kat leher, usai membaca kumpulan cerpen Usman Awang - Kami Yang Terlibat . Dah la tengah lapar, terus terbayang cekodok paling sedap yang kak Ana buat. huehue ^^

esok pulang menemui cinta. ♥

Sabtu, 02 Februari 2013

Di Pesta Buku

Assalamualaikum.

Jumaat.

Aku dan Taty akan cepat-cepat lari bila ada maskod datang ke arah kami. Lagi-lagi maskod yang berkepala harimau. 
Semalam aku dan Taty berjalan-jalan ke Karnival Karangkraf di Shah Alam. Niatnya hanya mahu mencuci mata melihat buku saja memandangkan sekarang tengah out of budget dan baucer buku pun tak dapat lagi :'( Novel-novel popular bertimbun, novel-novel keluaran lama dijual semurah RM5 dan RM10! Peminat setia novel alaf mesti dah borong berbakul-bakul. Kalau enam atau tujuh yang lalu masa zaman sekolah mungkin aku akan rambang mata dengan novel macam tu.

kenapa?

aku dulu bermula dengan membaca novel cinta popular sebelum aku mengenali dunia sastera. 

novel-novel cinta adalah tarikan utama para pelajar untuk berkunjung ke perpustakaan sekolah. Dulu masa aku jadi perpustakawan, sekolah banyak membeli berbakul-bakul novel popular. Rak-rak buku banyak dipenuhi dengan novel sebegitu dan realitinya, rak yang menempatkan novel popular itulah yang selalu menjadi tarikan pelajar untuk meminjam.

"Kalau tak ada novel macam tu, budak-budak sekolah ni tak masuk library agaknya." - kata Cikgu Zarina sambil mengeluh. 

hmm.

itu hakikat. Tapi sekolah sepatutnya menyediakan buku-buku yang berkualiti untuk tahap umur, pemikiran dan keperluan pelajar dan mengurangkan novel cinta picisan. Kita pun kena tahu bukan semua pelajar minat dengan sastera. Mereka suka membaca, tapi bacaan yang bermakna tapi santai. Disebabkan kami budak sains, kami suka baca novel-novel Hlovate yang karyanya selalu diselitkan dengan nota tambahan Kimia, fizik dan addmaths. Aku sangat hargai KOMSAS, kerana menyeimbangkan situasi yang berlaku pada masa tu.

"Novel popular mempunyai khalayaknya sendiri dan novel sastera serius mempunyai pengikutnya yang tersendiri." - Sri Diah.

"Soal sastera picisan atau novel cinta popular, jika tidak kalian mahu dekati mereka dan menunjuk arah, usah pula dicemuh. Selagi bacaan itu mengundang "rasa" (yang tidak seharusnya ditafsirkan hedonisme semata), ia telah membina nilai dalam diri. Dakwah pun ada peringkat dan khalayak pada cara dan usahanya, demikian sastera." - Wan Zaida. 

sumber: fesbuk. 

buku tetap buku. karya tetap karya. cuma yang membezakan antara keduanya adalah nilainya. yang penting, kenalah pandai pilih buku. Setiap buku ada ilmu walaupun sedikit. 

paling best bila shoping buku di kedai buku yang ada aircond. Bila suasana dan tempat sejuk dan selesa baru la ada feeling nak bercinta dengan buku. hehe. Tengah hari tu panas membahang, dan gerimis turun di hujung petang. alhamdulillah

Sabtu. 

Booth ITBM yang selalu menyediakan buku-buku dambaan hati.

Pesta yang paling best adalah pesta buku. Lagi best bila dapat shopping, jalan-jalan tengok buku dengan kawan yang sama jiwa, yang sama-sama pencinta buku, pencinta ilmu. Lagilah best bila ada kawan yang sama-sama suka genre buku yang kita suka, yang jadi guide untuk mencari booth sambil menunjuk, mencadangkan dan pada masa yang sama jadi promoter buku untuk memilih buku-buku yang best dan bagus untuk dibaca. Terima kasih kak Jamilah yang baik hati. Terima kasih Taty dan Adah yang sudi menemani. Terima kasih abang Pitri yang katanya nak bagi buku yang dah lama kita cari :D 

Pesta buku 1Msia tak la semeriah pesta buku antarabangsa. Ruang booth pun tidak terlalu banyak. Dan sebenarnya ada beberapa buah buku yang dicari tapi sudah kehabisan stok. hmm. Apa pun, ia tetap best buat para pencinta buku! 

Oklah, sekarang nak save bajet untuk kliBF 2013 bulan April nanti. :) 

p/s: semasa membelek-belek buku yang ingin dibeli, tiba-tiba bertanya pada diri, bila nak tulis buku sendiri? 

err 


Nur Suhada, sila jawab dalam hati. Satu hari nanti. Semoga Tuhan merealitikan mimpi. Semoga. 

Kamis, 31 Januari 2013

Sesuatu yang tidak tertuliskan

Assalamualaikum. 



Kau selalu ingatkan pada aku; 

"Melalui retorik hidup ini perlu memiliki ketabahan dari hati yang kuat. Ketabahan itu adalah teman kehidupan. Dan kehidupan menemukan dengan pelbagai mutiara hikmah yang tidak ternilaikan." 

Aku selalu lupa. Dan kau selalu ingatkan aku semula. Manusia kan sering alpa. Kalau bukan manusia yang menegur, ALLAH yang akan mengingatkan. 

Adakah orang yang lemah lembut itu memiliki hati yang lemah? Adakah orang yang memiliki hati yang lemah itu tidak boleh menjadi tabah? 

Kawan, ketabahan itu tidak tertuliskan. Yang aku tulis ini adalah bait-bait kekecewaan. 

tapi 

ada sesuatu yang tidak mungkin dapat dituliskan. Tak mampu nak susun satu persatu menjadi ayat-ayat yang bersambung dalam satu perenggan. 

dan sesuatu yang tidak tertuliskan itu adalah;

kelukaan. 

"Teman, kalau pelangi itu indah, pernah kau rasa bersyukur dengan kehadirannya yang cuma sekejap? Dan kau hanya mampu memandang dan tidak tergapaikan."

Pelangi, kesementaraan itu membuatkan aku sedar untuk menghargaimu. Anehnya kau hanya muncul tiba-tiba selepas hujan turun. 

namun, aku memiliki keindahan 7 warnamu, pelangi--dalam kehidupanku.

Hidup, kita akan selalu diduga dengan pelbagai rencah dan rasa. 

ALLAH, aku masih belajar untuk menggali hikmah atas segalaNya. segalanya. semuanya. Aku masih belajar untuk menjadi kuat. Aku masih belajar untuk menjadi seorang yang tabah seperti Sumayyah. 

dan kelukaan ini membuatkan aku menjadi tabah dengan arus kehidupan yang tidak tentu arah. dengan angin keras yang selalu berubah-ubah. 

ALLAH, terima kasih. 

*entri berbaur emosi kan? haha. Maaf. Aku tulis sebab aku masih punya hati untuk berkongsi. Aku masih punya rasa untuk merasai. 

tapi kelukaan ini adalah sesuatu yang tidak tertuliskan dalam bait puisi. 

aku mahu jadikan ia macam lalang, terbang ditiup angin. 

tapi

ahh sudah, ni pun aku masih susah nak tuliskan.

baik tidur dan lupakan. 

*Doa mohon ditetapkan hati.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Rabbabaa Laa Tuzigh Quluubanaa Ba’da Idz Hadaitanaa wa Hab Lana Min-Ladunka Rahmatan Innaka Antal-Wahhaab

Ertinya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).” (Al Imran: 7)

Wassalam. 

Selasa, 22 Januari 2013

Buah Pena Alumni MPR : Cinta Sang Penulis Kecil

Assalamualaikum.

Beberapa bulan yang lalu, apabila editor Tunas Cipta mempelawa aku untuk berkongsi pengalaman mengenai proses mengarang dan cerita dunia penulisan, meskipun agak berat untuk menerima - kerana aku merasakan aku belum pantas untuk mengisi ruangan Buah Pena Alumni MPR - kerana selepas aku menyertai program MPR pada 2011, dua tahun yang aku lalui selepas pulang dari meneroka dunia baharu di sana - apa yang aku dapati, miliki, lalui, selami terlalu kecil. Terlalu kecil untuk dikongsikan dengan pembaca sekalian. Benar, belum tiba waktunya untuk aku 'bercakap-cakap' tentang sesuatu yang baharu aku terokai. Benar, belum tiba masanya untuk aku 'memaparkan' kisah diriku, pengalaman, kenangan yang sungguh terlalu kecil, kerdil untuk bacaan khalayak. 

Ahh, kadang-kadang rasa malu dan segan selalu menguasai segalanya. Malu kerana aku belum ada apa-apa untuk diberikan. Segan kerana aku masih terlalu mentah untuk membicarakan tentang kembara dunia penulisan dan kesusasteraan. 

Bahawa aku masih dalam pencarian. Masih jauh langkah ini perlu dipacu, masih jauh kembara ini dalam permusafiran mencari ilmu. Aku adalah tunas muda yang masih hijau putiknya, yang belum mekar kelopaknya; yang masih menagih titis jernih dari hujan yang merenik, dari biasan mentari yang sinarnya sampai walau dalam gelita.

Namun, aku terimanya dengan rasa kesyukuran tak terhinggakan. Lalu aku mahu berkongsi apa adanya. Aku mahu memberi apa dayanya. Maka, terimalah catatanku yang semoga memberi sedikit rasa dan cinta! 


"Sayalah sang penulis kecil yang ingin menghirup dan bernafas di atmosfera sastera, yang ingin terus mengarang dengan sederhana bersama teman-teman seperjuangan di persada sastera Melayu. Sastera itu mendewasakan. Sastera itu mengakrabkan insan dengan cinta Tuhan yang tiada batasnya. Seperti mereka, saya juga mahu memberi sesuatu dengan seadanya kerana cinta, bukan untuk pulangan dunia. Hanya yang dipinta, pemberian cinta dibalas juga dengan Cinta." 

Buah Pena Alumni MPR, Tunas Cipta Januari 2013. 

Cerpenku - Hylocereus@undatus.com.my
dalam ruangan Nukilan Pena.
 

Terima kasih kepada tuan editor - En. Ghani Abu dan editor baharu TC - Puan Shuhailey yang menghikayatkan tulisanku di ruangan yang amat bermakna. Terima kasih buat semua. Semuanya! 

p/s: catatan teks asal yang lengkap (sebelum diedit oleh editor) boleh dibaca di sini - Cinta Sang Penulis Kecil
  

Rabu, 16 Januari 2013

tanpa

 ✿ ✿ 

"Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai." 

(Pramoedya Ananta Toer, 1925-2006).

dan;

"Kalian akan hebat di dunia, tetapi tanpa al-Quran dan hadis, 
kalian adalah insan yang paling rugi di akhirat." 

(Imam Al-Ghazali).

✿ 

Jumat, 11 Januari 2013

"Surat kecil untuk sahabat." Sepucuk surat cinta

3 Disember 2012

Tengah hari itu aku berada di perpustakaan, menyendiri di tingkat paling atas, di pojok paling hujung. Kononnya nak privasi bagi memahami subjek skrip animasi. Aku melihat jam di skrin telefon - jam 12.05 tengah hari. Aku ada lagi 55 minit sebelum waktu makan, dan solat sebelum jam 2 - waktu exam! 

Henfonku bergetar tanpa sebarang lagu.

+ Sue dekat library lagi ke?
- Iya darling. Nak jadi iceburg dah ni. Kenapa? 
+ Hehe. Sejuk sangat kan. Saja tanya Sue.
- Jangan risau, kalau Sue tertidur pun, konfem akan bangun balik sebab muka Cek Kamn mesti muncul dalam mimpi Sue. Haha :D
+ Haha. Nanti kita jumpa kat surau tau. Gudluck untuk exam petang nanti, Sue. :) 

12.50 aku cepat-cepat turun dan mengambil beg sandangku di rak. Buka saja zip begku, aku terpandang sampul surat berwarna kuning di celah-celah buku 'Friends Forever', buku kak Jamilah. Pantas aku mengambil sampul surat itu yang dihadapannya tertulis 'Sahabat...'




Baru saja aku ingin membuka, aku terlihat kata-kata yang tertulis di belakang surat;

*Baca di rumah ya
*Baca sorang-sorang

Hehehe. Comel sangat ayat tu! Ia mengingatkan aku ketika saling berbalas surat semasa zaman sekolah dulu. Aku tergelak kecil. Surat itu aku masukkan kembali ke dalam beg. Aku keluar dengan perasaan yang saling bersilang. Bahagia kala cinta sentiasa berputik dan berkembang mekar. 

* * *

9.15pm

Aku membuka lembaran surat panjang yang kusembunyikan di balik buku nota drama pentas. 'Surat Kecil untuk Sahabat'. Surat cinta! Aku baca dengan hati berbunga. Aku baca senyap-senyap tanpa sesiapa pun perasan. Surat bertulis tangan yang dilakar dengan seikhlas jiwa, setulus hati dan sepenuh cinta. Mungkin begitu perasaannya kala dia menulis surat itu untukku dan aku turut merasakannya ketika aku membaca. Sungguh aku merasakannya. 

"Sahabat ini umpama permata yang sangat bernilai
sahabat ini juga seperti bulan yang jarang nampak tetapi selalu ada di depan mata
sahabat juga sama seperti pelangi, warnanya indah tetapi jarang ditemui
begitu indahnya sebuah persahabatan.

Suhada..." 

Yang Ikhlas,
____________
Tidak Bernama

Sebak. 

Aku tersenyum. Aku tahu siapa yang tulis surat ini untukku. Dari gaya tulisannya, lenggok bahasanya dan cara tulisannya saja aku sudah terbayang wajah si dia dalam mindaku. Ahh, kamu! Seseorang yang terlalu dekat denganku. Seseorang yang sentiasa mengongsi cinta yang satu denganku.

...selebihnya biarlah aku sendiri yang menikmati. Dia akhir surat, di sebelah kanan ada tanda tangannya. Tapi di bawahnya, tertulis 'Tidak bernama'. Mungkin dia lupa, aku sudah ingat benar gaya autografnya. Jadi, tanpa dia menulis namanya pun aku sudah tahu siapa dia. 

Pendahuluan surat itu dimulakan dengan serangkap puisi. Kata-kata yang ditulis sehingga dua muka aku baca dengan mata berkaca. Susahnya aku ingin terjemahkan perasaanku kala itu. 

Perasaan seorang sahabat kepada sahabatnya. 

Aku terasa cukup dihargai. Sungguhlah, sahabat itu lebih bernilai dari harta dunia. Walhal sahabat yang baik kekal menyatu hingga ke syurga. Sahabat yang baik itu anugerah Ilahi yang paling terindah. 

Saat itu juga, selepas habis surat itu kubaca, aku tahan air mataku. Saat itu juga, aku menghantar mesej kepadanya. Dan aku rasa aku mahu memeluknya. Terima kasih sahabat! 

kepada penulis surat cinta ini, Su sayang awak kerana ALLAH. 


_____________________________________________________________________________
 
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.” 

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:  
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
_____________________________________________________________________________

Cinta itu rasanya bagaimana? Indah, kan?