Kamis, 21 Maret 2013

Menulis itu adalah cinta.

Assalamualaikum.

kususun aksara dengan tinta
ilham hati dari Ilahi yang dipinta
selembar kisah kalamku bercerita
warnanya bagai pelangi yang tercipta
dari mimpi-mimpi, anganku jadi nyata. 

Tuhan, terima kasih 
menurunkan hujanan kata
yang selalu menguyur adalah cinta
tumbuh subur di jiwa melata! 
.....

Aku sangat rindu pada musim persekolahan yang penuh warna, penuh rona. Kerana detik itu segalanya bermula.

*mengumpul karya puisi dan cerpen. 

Dahulu, waktu yang paling aku tunggu adalah hujung minggu ketika abang atau kakakku membeli surat khabar Berita Minggu (masa tu karya kreatif disiarkan pada hari sabtu) dan karya yang tersisip dalam akhbar Mingguan Malaysia. Aku juga suka membaca majalah Wanita dan Harmoni kepunyaan kakak untuk aku baca cerpen di dalamnya. Kerana terlalu sayang, selepas memastikan yang mereka sudah selesai membaca, aku akan menggunting keratan akhbar ruangan yang ada cerpen dan puisi. Setelah itu, aku tampal dalam halaman kertas lukisan. Habis surat khabar aku kerjakan. Potong di sana di sini. Kalau ada rencana yang menarik pun aku akan gunting dan simpan. Sayang sekali kalau dibiarkan. Kalau disimpan, bolehlah aku buat rujukan di lain hari.

Aku juga akan mendapatkan akhbar Metro setiap hari Selasa kerana masa tu ruangan karya diserikan dengan novel bersiri Nyanyi Sunyi, nukilan penulis dari Johor yang sangat aku gemari gaya tulisannya - Maskiah Masrom. Aku kumpul setiap minggu walaupun tidak semuanya.



Yang aku rasakan adalah rasa seronok kerana mendapat bahan bacaan percuma. Bertambah seronok bila melihat buku lukisanku dipenuhi cerpen dan puisi. Semakin banyak yang aku kumpul, semakin bertambahlah minat yang terkumpul. Aku suka meng'highlightkan' sesuatu ayat yang cantik. Lalu aku salin semula dalam buku catatanku.

Ia memberi aku inspirasi untuk menulis. Ia memberi aku motivasi untuk berkongsi.

Membaca karya pengarang besar, jiwa dan semangatku pun menjadi besar - untuk mengarang. Persoalan 'kenapa aku ingin menulis?' adalah persoalan yang masih belum kukuh jawapannya. Tuhan, aku ingin istiqamah. Betulkan niatku, tetapkan hatiku. Setiap patah perkataan yang aku tuliskan adalah amanahku.

Sekarang, setelah melewati zaman sekolah, aku sama meninggalkan 'hobi' yang telah mencambahkan rasa cinta pada dunia sastera. Aku lupa pada 'tradisi' lama.

Mungkin aku perlu kembali menyambung hobi kecintaanku itu agar cinta itu terus bertunas dan mekar seperti mula-mula aku berkenalan dengan karya.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” 
Pramoedya Ananta Toer



























Menulis itu adalah cinta. ♥

Tidak ada komentar:

Posting Komentar