Kamis, 21 Februari 2013

Emel: Catatan Tengah Malam (i)

Ini kasih aku. Kisah kami berdua. Aku, aku punya teman pena, teman maya, teman sejiwa, teman hati, teman inspirasi, teman motivasi --- namanya ialah kakak. Aku dan kakak yang mempotretkan kisah persahabatan dalam bingkai paling indah. :) 

Yahoo Mail.
From: Kakak
To:  <nursuhada_9218@yahoo.com> 
Sent: Saturday, February 16, 2013 12:35 PM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Assalamualaikum Su. 

Seronok bercuti chinese new year? Kakak baru pergi KL minggu lepas. Tapi, Su pula balik kampung pula. Entah bila boleh kakak lepak-lepak dan  kenal ASWARA. Teringin sangat Su nak tengok bagaimana cara dan metod pelajar aliran sastera belajar. Tentu menarik bukan? Kakak tengok kemahiran Su memberikan komentar dan kritikan sastera pun sudah makin mantap. 

Su, kakak nak tanya pandangan Su, Su ada lihat tak trend penulis-penulis muda yang kurang lebih sebaya kita yang cenderung menghasilkan karya-karya yang lebih bersifat popular daripada mementingkan mutu sastera? Apakah bengkel --- itu tidak cukup untuk mendekatkan dan mendedahkan diri mereka dengan sastera? Sayang Su, yang minat menulis sastera tak ramai, kalau ada pun, sayang mereka masuk jalan berbeza kan. Akak pernah berbincang dengan ---. Mulanya kakak cadangkan agar kita mendekatkan diri dengan golongan penulis sedemikian. Tapi dia tak bersetuju, katanya biarlah kita dengan kerja kita. Karya sastera tak diukur dengan ramai jumlah penulis, tapi kualiti katanya. 1000 karya popular sekalipun tidak mampu menandingi sebuah karya sastera yang tinggi nilainya kan?. Maka akak pun setuju. Bimbang juga Su, semakin lama semakin ramai kawan-kawan kita yang ambil jalan pintas untuk terbitkan buku dengan syarikat buku yang hanya mengejar untung.

Salam sayang dari

kakak...











From: <nursuhada_9218@yahoo.com>
To: Kakak
Sent: Monday, February 18, 2013 1:15 AM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Waalaikumsalam kakak. 

6. Sahabat Akrab

persahabatan seperti
mendewasakan pokok
dalam kemarau dan ribut.
- Catatan Sebelum Tidur, T Alias Taib. 

(i)
Semasa Su menatap bait emel ini, sambil-sambil itu Su sedang menikmati puisi beliau. Itu yang Su kongsikan semula di sini. Nampak lain tak permulaan emel di situ? Haha. Semakin hari pena Su semakin tumpul untuk menulis puisi, kak. Tidak seperti awal-awal dulu. Su benar-benar merasakan menyusun stanza kata dengan padat dan tepu makna begitu sukar berbanding menulis berjela-jela kata dalam cerpen. Tapi Su senang begini, santai mendalami puisi-puisi mereka dalam sepi malam sebelum kelopak mata mengatup. ;) 

(ii)
Itulah, kekadang jodoh bukan milik kita. Tapi apa yang pasti, kakak kena datang sebelum Su final year bulan Jun tahun hadapan ya. Su akan bawa akak bertemu dengan bayang Sita Dewi di balik kelir putih. Su akan bawa akak mendengarkan indahnya irama rebab yang bergemersik. Su akan bawa akak menyelami indahnya wajah lukisan yang terlakar digantung di dinding. Betapa di sini, biarpun nuansanya 'begitu seni', ruangnya sederhana namun Su menemui apa yang Su cari. Mencari nilai seni yang perlu orang Melayu hargai. :)

(iii)
Kata mereka;

"Novel popular mempunyai khalayaknya sendiri dan novel sastera serius mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Itu realiti. Karya sastera serius harus ada cara bagaimana mahu mendapat formula terbaik mahu sukses dan diminati." - SRI DIAH

"Sepertimana novel cinta popular ada peminat tersendiri, novel sastera pula hanya untuk khalayak terpilih. Ini hakikat, sebab tahap pemikiran masyarakat banyak peringkat." - RABECCA ILHAM

"Soal sastera picisan atau novel cinta popular, jika tidak kalian mahu dekati mereka dan menunjuk arah, usah pula dicemuh. Selagi bacaan itu mengundang "rasa" (yang tidak seharusnya ditafsirkan hedonisme semata), ia telah membina nilai dalam diri. Dakwah pun ada peringkat dan khalayak pada cara dan usahanya, demikian sastera."
- WAN ZAIDA WAN YUSSOF

# sumber: status SM Zakir, facebook. 

Berita Harian - 7/2/2011


------------

Su berpendapat, untuk melonjakkan nama sastera dan mengangkat sastera setinggi yang boleh, sayembara seperti yang dianjurkan oleh ITBM-PENA itu antara usaha yang mampu merealisasikannya. Siapalah yang tak suka dapat hadiah beribu-ribu kan. Haha. Su terkilan sebab tak dapat masuk sayembara tu. Sebab Su masih belum mampu, kak. 

Ya, Su sendiri memerhati perkembangan dunia sastera di sini. Yang paling dekat dengan Su. Su masih berbangga. Kerana kita tidak semuanya sama. Pasti punya jiwa dan ideologi yang berbeza. 

Ya, ini hakikat. Hakikat yang sudah terikat - bak kata Kak Rabecca. 

Dari situlah Su mula melihat, menilai kembali dunia sastera yang didiami penulis muda. Kita melihat antara hakikat dan pengaruh yang terikat. Hakikat yang Kak Rabecca bicarakan itu. Dan juga mengenai khalayak yang Sri Diah kongsikan itu. Teman  Su sendiri pun tidak begitu meminati karya sastera, kak. Bagi mereka, karya sastera terlalu susah untuk difahami. Mereka menginginkan bacaan yang mudah namun bermakna. Tapi menurut Su, bacaan sastera itu istimewa dan begitu bernilai kerana ketinggian pemikiran dan bahasanya itulah! Hmm, Su bersetuju dengan pandangan ---. Kita buat kerja kita masing-masing. Tapi bukanlah bermaksud tidak peduli langsung kan. Namun dalam masa yang sama Su bersetuju dengan kakak, kita boleh mendekatkan diri dengan golongan penulis itu. Dan untuk berusaha ke arah itu, kita memerlukan pendekatan tidak mengecilkan hati mana-mana pihak. Seperti kata Wan Zaida itu, karya popular tidak boleh dicemuh. Ia masih dipanggil karya dan masih punya sesuatu yang mungkin memberi sedikit kepada pembaca walaupun sangat berbeza taraf nilainya dengan sastera. 

Barangkali kita boleh menghasilkan bacaan sastera yang lebih santai untuk permulaan mendekatkan diri kepada pembaca untuk mengenali sastera. Kita tidak boleh memaksa pembaca untuk menjiwai sesuatu sama seperti apa yang kita rasakan. Kita tidak boleh meminta mereka membaca karya sastera secara terus tanpa ada permulaan. Untuk memulakan pastilah dari sesuatu yang lebih kecil sifatnya. Dan sudah tentulah memerlukan waktu dan gerak usaha yang berterusan. Sastera harus dikomersilkan, harus meluaskan pengaruhnya ke daerah yang lebih besar. Kalau bengkel sastera untuk orang sastera saja, macam mana nak kenalkan sastera dengan orang yang tak tahu apa itu sastera? Su pasti, sastera harus bermula dari akar umbi, dari sastera kanak-kanak dan sastera remaja. Sejak dari peringkat sekolah. 

Di Malaysia, ramai penulis yang datang dari latar belakang yang berbeza dan kewujudan penerbitan buku yang banyak. Tapi tidak semua penulis yang berjiwa sastera. 

Kakak,  

Yakin dengan cinta kita yang sentiasa tumbuh subur di jiwa, dalam kehidupan. Sastera akan tetap kukuh di persada. Tugas kita adalah untuk memperjuangkannya untuk melestarikan sastera sesuai di tempatnya dan zamannya meski dunia semakin moden. Kak, percaya akan kemampuan kita, keupayaan pena kita, ketinggian akal budi dan idealisme kita walaupun sumbangan kita hanya sekecil zarah. 

Teringat kata pensyarah Su dalam kuliah, "Buku, novel dan akhbar mungkin semakin berkurangan dalam jangka masa 5, 6, 7, 8 atau 10 tahun lagi. Kerana dunia semakin maju. Pembaca pasti mahu mendapatkan bacaan bermutu yang lebih pantas dengan teknologi yang baharu." 

Waa, Su tak boleh bayangkan! Bagaimana dengan masa depan dunia buku dan sastera? 

Kak, moga CINTA kita itu tidak mati dalam mengharungi dugaan di arus zaman. Harapan Su, harapan kakak, harapan kita semua.

YA ALLAH, peluklah doa kami ini. 

Seorang pengarang, senjatanya adalah pena dan lembaran
fikirnya adalah kehidupan dan perjuangan
hatinya adalah cinta dan sayang. 
- Catatan tengah malam (i), Nur Suhada. 

Salam cinta,
Su... ♥

Wassalam. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar