Rabu, 02 Januari 2013

Travelog Budak Mentah: Antara Ibrah, Hikmah dan Mahabbah

Assalamualaikum.

“Setiap yang tua pernah muda, namun setiap yang muda tidak semestinya tua.”

Travelog Budak Mentah, sebuah buku sulung yang dititipkan oleh penulisnya – Hafizul Faiz, sahabat MPR 2011 menemukan saya dengan banyak perkara, hal dan peristiwa yang berlegar dalam diri, dan di mana-mana. Kejadian biasa yang kita hadapi namun adakalanya terlepas pandang tanpa menoleh kembali mengambil iktibar dari sejarah buat bekalan mendatang. Hal-hal biasa yang kita lalui namun selalunya kita membiarkan tanpa menyedari ada yang luar biasa dalam hal kecil yang biasa itu. 

Malah ada hal kehilangan yang kita tidak jangka lalu dibalas dengan ‘pemberian’ dan nikmat dari ALLAH yang kita tidak sangka.

Dan tentunya setiap kisah (malah setiap lembaran) menjadi di luar kebiasaan; bila setiap perkara, peristiwa  dan ujian yang  dilalui, ia dilihat kembali antara sinar dan kelam, direnung dengan mendalam dari tiap sisi dan posisi, difikir melalui akal yang bijaksana dalam menimbang antara +ve dan –ve serta dalam melihat semula dalam diri – (akhlak yang sentiasa berubah-ubah dan ujian itu adalah pengukurnya; hlm35).

Apa-apa jua yang berlaku dalam hidup manusia, yang sudah ditetapkan tentulah ada hikmah di hujungnya. Ada hikmah di dalamnya. Ada mahabbah ALLAH kepada hamba-Nya.

Begitulah Travelog Budak Mentah. Ada tiga bahagian di dalamnya yang bikin kita termenung panjang (baca; berfikir) dengan pengolahan penulisnya yang santai dan bersahaja untuk berkongsi serba macam pengalaman yang mendewasakan penulisnya (malah kita semua).

Bahagian 1 – dari Diari Seorang Pak Su sehinggalah kepada Travelog Hikmah: ‘Daerah yang Tenang’. Bahagian 2 – dari Cinta yang Subjektif dan Infiniti Itu… sampailah kepada You Can Put The Blame On Me.  Dan Bahagian 3 – dari Golongan Ketiga, Golongan Bahagia tiba pada kisah Terus Hanyut Aku Bersama Waktu. Kita akan dibawa singgah dari satu lembaran ke lembaran untuk mengembara perjalanan setiap kisah dalam menelusuri makna yang tepu hikmah. Tiga bahagian yang terkandung itulah terangkum bersama antara ibrah, hikmah dan mahabbah.

Antara petikan kata penuh makna dalam setiap akhir cerita;

“Dunia telah mengajar kita pelbagai rencah dan resipi. Kehidupan telah mendewasakan kita setiap saat dan ketika.” – hlm66.

“Hidup yang singkat, perlulah diikat, dengan sebuah rasa yang bernama hakikat.” – hlm53.

“Hanya orang yang tabah akan diuji dengan ketabahan.” – hlm129.

“ALLAH is very beautiful in designing our life.” – hlm46.

~~~~~~~~~~

Sekadar untuk perkongsian. Kata seorang pakar psikologi, Dr. Dicks, “Kehidupan yang bahagia adalah seni keindahan yang memiliki 10 kaedah.", antaranya;

Harus memiliki tujuan dalam hidup, kerana itu yang akan membuatnya bersemangat. 
Menjalani kehidupan apa adanya dan menerimanya baik yang manis mahupun pahit, dengan hati yang lapang.
Hayati hidup yang sedang dijalani; jangan menyesali perkara yang sudah berlalu; dan jangan pula memusingkan hari esok yang belum tiba. 
Pergunakanlah berbagai kesempatan yang cerah lagi indah dan anggaplah itu sebagai terminal yang sangat penting untuk kebahagiaan.

Saya kira, empat perkara di atas ada terselit dan bersangkut-paut dalam kisah mahupun ibrah yang terkandung dalam buku TBM.

Travelog Budak Mentah, sebuah buku kembara diri sarat maknawi untuk ditekuni.

Syabas Faiz!

“Hanya dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang.” (ar-Ra’du: 28).

p/s: kepada kalian yang belum memiliki buku ini, jangan lupa cepat dapatkannya okay! 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar