Senin, 31 Desember 2012

Cerita Akhir Tahun

Assalamualaikum.

Sinar mentari 1 Januari 2013 sekejap lagi menjengah tiba. Alhamdulillah. Berlalu sudah 2012 yang menghimpunkan bermacam kisah manis dan pahit, pengalaman dan kenangan yang aku lalui yang tidak mungkin akan aku ulangi kembali pada tahun sebelumnya mahupun tahun selepasnya.

2012 yang bermakna.

Selepas aku menyertai MPR 2011 dan sesudah aku menyambung pengajian ke Aswara, tahun 2012 adalah tahun yang penting buat aku kerana kembaraku di daerah penulisan bermula di sini, bermula pada tahun 2012. Melihat kembali tugasan-tugasan yang meliputi karya sastera yang ditukangi sepanjang berada di Aswara membuatkan aku amat menghargai setiap detik yang aku lalui untuk menimba sebanyak mana ilmu dan pelajaran. Dan memang, semakin aku belajar menulis, semakin aku berasa kerdil kerana ilmu penulisan dan sastera itu terlalu luas dan terlalu dalam untuk digali.

Kemudian, aku membelek semula karya cerpen yang tersiar sepanjang tahun 2012;

  • Aya Sofia, TC Mac
  • Suara Dinding yang Bergema, TC Julai
  • Senandungkan Gurindam Itu, Mingguan Msia September
  • Hatiku Menangis di Madrasah, Harmoni Oktober
  • Ketika Angsana Mengelopak, Wadah Siswa Oktober
  • dan artikel ‘KSR’, Mastika Disember

Permulaan yang hanya beberapa kerat. Namun alhamdulillah syukur. Perjalanan yang kupilih ini semakin berliku, semoga ketabahan semakin kuat tersemat di kalbu. Perjalanan di denai penulisan, ya tak semudah yang disangka. Tapi di penghujungnya ada keterujaan, kepuasan dan kebahagiaan yang selalu datang tak disangka-sangka.

Kembara kita dari tahun ke tahun dapat diumpamakan seperti puisi ‘Dari Pelabuhan ke Pelabuhan’, karya Zaidin Abadi;



sebuah kapal belayar
di tengah lautan
sarat muatan
dari pelabuhan ke pelabuhan.

antara debur ombak
dan jerit taufan
kapal tegap gagah
mengharung gelombang.

kita wajar belajar
menempuh cabaran
dengan tabah dan gigih
bagai kapal di tengah lautan
kerana perjalanan hidup ini
umpama meninggalkan
sebuah pelabuhan
ke pelabuhan yang lain.


* * * 

Perencanaan 2013?

Tidak lain dan tidak bukan adalah aku harus lebih istiqamah dalam pengajian – yang dalam perjalanan ke peringkat klimaks ini. Semakin ke penghujung sem, semakin mendidik diri untuk dewasa dalam menangani dan menghadapi apa jua perkara dan kemungkinan yang mendatang.

Dewasa? 

Aii menulis pun masih contengan budak-budak, apatah lagi orangnya. Tambah-tambah bulan Januari adalah bulan yang paling bermakna, paling mengujakan sebab 2 Januari bufday kakak tersayang dan empat hari selepasnya adalah hari…

hmm? biarlah rahsia. hee

Tapi aku tahu, dewasa tidak hanya diukur dengan usia. Pengalaman yang akan malah (lebih) mendewasakan kita.


Sabtu ini harus berangkat pulang ke kota. Bukan harus tapi wajib. Di akhir cuti ini, biasalah penyakit malas nak balik tu memang sentiasa datang. Jadi aku ingin meminjam semangat dari anak-anak sedaraku yang gembira sakan dan tak sabar benar nak masuk sekolah semula. Dari hari tu kerjanya dok menayang ke sana sini baju sekolah baru, beg baru, kasut baru, kotak pensel baru, songkok baru… semuanya baru! Hehehe teringat zaman sekolah dulu. Tak ada beza dengan sekarang, sama saja dengan aku (…dan kita?). Memang tahun baru, semuanya nak baru! Kannnn ^___^

Baiklah. Sekian.

* * * 

 
10.15pm,
pinggiran desa Batu Pahat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar