Kamis, 28 Februari 2013

Di BSVN: 60 Tahun Latiff Mohidin

Assalamualaikum.

Khamis, 14 Feb 2013

Hari itu, hujan lebat yang turun tidak menghalangiku untuk ke Balai Seni Visual Negara (BSVN). Aku mengikuti teman sekelasku, Kak Shikin yang menemani seorang kawannya yang juga seorang pelukis dan peminat lukisan Latiff Mohidin. Aku memang meminati seni lukisan dan sudah lama berhajat untuk ke BSVN (ingin mengamati hasil karya beliau dan bertemu dengan Latiff Mohidin juga). Dan alhamdulillah, berpeluang bertemu dengan beliau buat pertama kali dan sempat mendapatkan autograf eksklusifnya. Pak Latiff, beliau begitu mesra dengan peminatnya. :)

Sungai Mekong

kupilih namamu kerana aku begitu sepi,
kan kubenamkan dadaku ke dadamu,
kaki kananku ke bulan, kaki kiriku ke matahari,
kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu
namaku ke muara, suaraku ke gunung.

Puisi bertajuk Sungai Mekong yang telah berusia hampir lima dekad ini adalah hasil nukilan Latiff Mohidin yang begitu mengesankan.

Mingguan Malaysia, 16 Disember 2012

Kami melawat ke Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF di Galeri 2A, 2B, 3A & 3B, BSVN yang mempamerkan sejumlah 344 buah karya termasuk lukisan, catan, cetakan dan arca. Aku tidak menghiraukan kain skirtku yang hampir basah lencun kerana terlalu teruja untuk menghayati karya lukisannya yang begitu futuristik. Karya-karya agungnya terhasil daripada kata-kata dan palitan warna untuk menceritakan pelbagai perspektif seni sejak tahun 1960-an lagi.

Pendokumentasian visual, berupa himpunan illustrasi kulit depan buku-buku puisi dan penerbitan lain hasil karya Latiff juga turut dipamerkan.


Dalam bidang seni lukis, beliau mula berkarya sejak tahun 1951. Melalui siri lukisannya seperti Pago-Pago, Mindscap dan Langkawi yang aku perhati, amati, sentuhi dan rasai dengan hati. Sungguh, tidak mudah untuk merungkai rahsia dan kisah yang tersirat di balik hasil lukisannya yang sarat dengan perlambangan  dan makna terutamanya Pago-pago. Dan aku bukanlah pemerhati lukisan yang tajam.


Pameran itu dibahagikan kepada tiga period  masa yang menggambarkan tahap perkembangan artistik Latiff, iaitu Period Formatif - waktu mula mengenal, mempelajari dan meneroka dunia seni rupa, Period Medatif -waktu mendalami peranan dan tanggungjawab beliau sebagai seoarang seniman dan Period Gestural - waktu karya, samada karya seni rupa atau sastera, menunjukkan kematangan dari segi aspek tema, gubahan dan teknik.


Antara lukisan yang dipamerkan
Cat minyak atas struktur kayu

Arca

Aku paling suka dengan lukisan di bawah ini! Lama aku mengamati lukisan yang bertajuk Surah AN-NUR 24 yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin pada tahun 1991. Memerhati sesebuah lukisan, perasaannya tidak sama ketika membaca sesebuah buku. Sukar untuk membaca rahsia dan tafsiran dalam sebuah bingkai lukisan yang tercoret dalam warna-warna, garisan, bentuk yang dilakarkan. 




Latiff Mohidin, dialah penyair-
kata-kata adalah makna
dialah pelukis-
palitan warna adalah kehidupan. 

p/s: Pameran ini akan berlangsung sehingga 13 Jun 2013. 

Kamis, 21 Februari 2013

Emel: Catatan Tengah Malam (i)

Ini kasih aku. Kisah kami berdua. Aku, aku punya teman pena, teman maya, teman sejiwa, teman hati, teman inspirasi, teman motivasi --- namanya ialah kakak. Aku dan kakak yang mempotretkan kisah persahabatan dalam bingkai paling indah. :) 

Yahoo Mail.
From: Kakak
To:  <nursuhada_9218@yahoo.com> 
Sent: Saturday, February 16, 2013 12:35 PM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Assalamualaikum Su. 

Seronok bercuti chinese new year? Kakak baru pergi KL minggu lepas. Tapi, Su pula balik kampung pula. Entah bila boleh kakak lepak-lepak dan  kenal ASWARA. Teringin sangat Su nak tengok bagaimana cara dan metod pelajar aliran sastera belajar. Tentu menarik bukan? Kakak tengok kemahiran Su memberikan komentar dan kritikan sastera pun sudah makin mantap. 

Su, kakak nak tanya pandangan Su, Su ada lihat tak trend penulis-penulis muda yang kurang lebih sebaya kita yang cenderung menghasilkan karya-karya yang lebih bersifat popular daripada mementingkan mutu sastera? Apakah bengkel --- itu tidak cukup untuk mendekatkan dan mendedahkan diri mereka dengan sastera? Sayang Su, yang minat menulis sastera tak ramai, kalau ada pun, sayang mereka masuk jalan berbeza kan. Akak pernah berbincang dengan ---. Mulanya kakak cadangkan agar kita mendekatkan diri dengan golongan penulis sedemikian. Tapi dia tak bersetuju, katanya biarlah kita dengan kerja kita. Karya sastera tak diukur dengan ramai jumlah penulis, tapi kualiti katanya. 1000 karya popular sekalipun tidak mampu menandingi sebuah karya sastera yang tinggi nilainya kan?. Maka akak pun setuju. Bimbang juga Su, semakin lama semakin ramai kawan-kawan kita yang ambil jalan pintas untuk terbitkan buku dengan syarikat buku yang hanya mengejar untung.

Salam sayang dari

kakak...











From: <nursuhada_9218@yahoo.com>
To: Kakak
Sent: Monday, February 18, 2013 1:15 AM
Subject: Antara karya sastera dan popular

Waalaikumsalam kakak. 

6. Sahabat Akrab

persahabatan seperti
mendewasakan pokok
dalam kemarau dan ribut.
- Catatan Sebelum Tidur, T Alias Taib. 

(i)
Semasa Su menatap bait emel ini, sambil-sambil itu Su sedang menikmati puisi beliau. Itu yang Su kongsikan semula di sini. Nampak lain tak permulaan emel di situ? Haha. Semakin hari pena Su semakin tumpul untuk menulis puisi, kak. Tidak seperti awal-awal dulu. Su benar-benar merasakan menyusun stanza kata dengan padat dan tepu makna begitu sukar berbanding menulis berjela-jela kata dalam cerpen. Tapi Su senang begini, santai mendalami puisi-puisi mereka dalam sepi malam sebelum kelopak mata mengatup. ;) 

(ii)
Itulah, kekadang jodoh bukan milik kita. Tapi apa yang pasti, kakak kena datang sebelum Su final year bulan Jun tahun hadapan ya. Su akan bawa akak bertemu dengan bayang Sita Dewi di balik kelir putih. Su akan bawa akak mendengarkan indahnya irama rebab yang bergemersik. Su akan bawa akak menyelami indahnya wajah lukisan yang terlakar digantung di dinding. Betapa di sini, biarpun nuansanya 'begitu seni', ruangnya sederhana namun Su menemui apa yang Su cari. Mencari nilai seni yang perlu orang Melayu hargai. :)

(iii)
Kata mereka;

"Novel popular mempunyai khalayaknya sendiri dan novel sastera serius mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Itu realiti. Karya sastera serius harus ada cara bagaimana mahu mendapat formula terbaik mahu sukses dan diminati." - SRI DIAH

"Sepertimana novel cinta popular ada peminat tersendiri, novel sastera pula hanya untuk khalayak terpilih. Ini hakikat, sebab tahap pemikiran masyarakat banyak peringkat." - RABECCA ILHAM

"Soal sastera picisan atau novel cinta popular, jika tidak kalian mahu dekati mereka dan menunjuk arah, usah pula dicemuh. Selagi bacaan itu mengundang "rasa" (yang tidak seharusnya ditafsirkan hedonisme semata), ia telah membina nilai dalam diri. Dakwah pun ada peringkat dan khalayak pada cara dan usahanya, demikian sastera."
- WAN ZAIDA WAN YUSSOF

# sumber: status SM Zakir, facebook. 

Berita Harian - 7/2/2011


------------

Su berpendapat, untuk melonjakkan nama sastera dan mengangkat sastera setinggi yang boleh, sayembara seperti yang dianjurkan oleh ITBM-PENA itu antara usaha yang mampu merealisasikannya. Siapalah yang tak suka dapat hadiah beribu-ribu kan. Haha. Su terkilan sebab tak dapat masuk sayembara tu. Sebab Su masih belum mampu, kak. 

Ya, Su sendiri memerhati perkembangan dunia sastera di sini. Yang paling dekat dengan Su. Su masih berbangga. Kerana kita tidak semuanya sama. Pasti punya jiwa dan ideologi yang berbeza. 

Ya, ini hakikat. Hakikat yang sudah terikat - bak kata Kak Rabecca. 

Dari situlah Su mula melihat, menilai kembali dunia sastera yang didiami penulis muda. Kita melihat antara hakikat dan pengaruh yang terikat. Hakikat yang Kak Rabecca bicarakan itu. Dan juga mengenai khalayak yang Sri Diah kongsikan itu. Teman  Su sendiri pun tidak begitu meminati karya sastera, kak. Bagi mereka, karya sastera terlalu susah untuk difahami. Mereka menginginkan bacaan yang mudah namun bermakna. Tapi menurut Su, bacaan sastera itu istimewa dan begitu bernilai kerana ketinggian pemikiran dan bahasanya itulah! Hmm, Su bersetuju dengan pandangan ---. Kita buat kerja kita masing-masing. Tapi bukanlah bermaksud tidak peduli langsung kan. Namun dalam masa yang sama Su bersetuju dengan kakak, kita boleh mendekatkan diri dengan golongan penulis itu. Dan untuk berusaha ke arah itu, kita memerlukan pendekatan tidak mengecilkan hati mana-mana pihak. Seperti kata Wan Zaida itu, karya popular tidak boleh dicemuh. Ia masih dipanggil karya dan masih punya sesuatu yang mungkin memberi sedikit kepada pembaca walaupun sangat berbeza taraf nilainya dengan sastera. 

Barangkali kita boleh menghasilkan bacaan sastera yang lebih santai untuk permulaan mendekatkan diri kepada pembaca untuk mengenali sastera. Kita tidak boleh memaksa pembaca untuk menjiwai sesuatu sama seperti apa yang kita rasakan. Kita tidak boleh meminta mereka membaca karya sastera secara terus tanpa ada permulaan. Untuk memulakan pastilah dari sesuatu yang lebih kecil sifatnya. Dan sudah tentulah memerlukan waktu dan gerak usaha yang berterusan. Sastera harus dikomersilkan, harus meluaskan pengaruhnya ke daerah yang lebih besar. Kalau bengkel sastera untuk orang sastera saja, macam mana nak kenalkan sastera dengan orang yang tak tahu apa itu sastera? Su pasti, sastera harus bermula dari akar umbi, dari sastera kanak-kanak dan sastera remaja. Sejak dari peringkat sekolah. 

Di Malaysia, ramai penulis yang datang dari latar belakang yang berbeza dan kewujudan penerbitan buku yang banyak. Tapi tidak semua penulis yang berjiwa sastera. 

Kakak,  

Yakin dengan cinta kita yang sentiasa tumbuh subur di jiwa, dalam kehidupan. Sastera akan tetap kukuh di persada. Tugas kita adalah untuk memperjuangkannya untuk melestarikan sastera sesuai di tempatnya dan zamannya meski dunia semakin moden. Kak, percaya akan kemampuan kita, keupayaan pena kita, ketinggian akal budi dan idealisme kita walaupun sumbangan kita hanya sekecil zarah. 

Teringat kata pensyarah Su dalam kuliah, "Buku, novel dan akhbar mungkin semakin berkurangan dalam jangka masa 5, 6, 7, 8 atau 10 tahun lagi. Kerana dunia semakin maju. Pembaca pasti mahu mendapatkan bacaan bermutu yang lebih pantas dengan teknologi yang baharu." 

Waa, Su tak boleh bayangkan! Bagaimana dengan masa depan dunia buku dan sastera? 

Kak, moga CINTA kita itu tidak mati dalam mengharungi dugaan di arus zaman. Harapan Su, harapan kakak, harapan kita semua.

YA ALLAH, peluklah doa kami ini. 

Seorang pengarang, senjatanya adalah pena dan lembaran
fikirnya adalah kehidupan dan perjuangan
hatinya adalah cinta dan sayang. 
- Catatan tengah malam (i), Nur Suhada. 

Salam cinta,
Su... ♥

Wassalam. 

Rabu, 06 Februari 2013

Lagu Puisi dan Cinta

Assalamualaikum. 

Semalam dan cinta

Malam itu, aku duduk memeluk tubuh di tangga, ambil angin, melihat langit yang tidak berbintang. Dua orang teman datang menghampiriku. Kami duduk bertiga. Berkongsi kisah dan gelisah. 

kawan berambut pendek bagi teka teki;

"Dalam banyak-banyak kera, kera apa yang pandai menaip?" 

"Kera sumbang?" Aku cuba. 

"Salah." 

"Kera... kera..." kawan satu lagi yang bercermin mata dah tak tahu nak jawab apa. Aku pun dah malas nak pikir. 

"Surrender?" Dia angkat-angkat kening. 

"Yelah..." 

Kami buat muka. Kawan kami yang sorang tu memang suka bagi teka teki yang jawapannya punyalah susah kami nak cari. 

"Jawapannya adalah... KERANI! hahahaha!" Dia ketawa terbahak-bahak. 

heh

dan sepi yang membeku waktu itu terus mencair. 






Malam ini dan lagu puisi

Aku suka pada lagu puisi, lagu untuk hati. Masa mengarang atau menyiapkan tugasan, kekadang sepi itu membekukan. Bak kata Rendra, sepi menjadi kaca. Lagu puisi selalu mengilhamkan. Lagu yang punya jiwa. 

Aku pun bukan tahu sangat pasal lagu puisi. Dan kawan-kawan yang baik hati yang selalu beri inspirasi hehe. Jadinya, aku tahu la serba sedikit siapa Ahmad Ramli, Ebiet G Ade selain Kopratasa dengan lagu Permatanya dan juga Zubir Ali dengan lagu Doa - puisi Chairil Anwar. 

Sedap oo lagu puisi ni! 

Katakan padaku
sejak puisi mengalir
sejak langit meratap
mengapa air mataku
terasa baru bagai embun
terasa baru

Burung rembang membuka sayap
daun daun menjadi lebih redup
aku lewat lagi berdayung di depan mu
kau siap lagi berdiri di tebing
semua pohon menjadi sepohon di samping mu
semua detik menjadi sedetik di matamu
sungai ini pun terasa betapa gemuruh
menyambut semarak api di bahumu
katakan padaku
sejak malam menjelma
sejak maut menyentuh
mengapa sepi jiwamu
terasa baru bagai pedihku
terasa baru.

* Katakan Padaku - Puisi Latiff Mohidin. Nyanyian lagu Ahmad Ramli. 

Lagu sebelum terlena. 

Esok dan cinta

"Dik, raya cina balik bila dan cuti berapa hari? Kak Ana nak set masa pergi sana ni." - Mesej dari kakak. 

"Kak, kita balik esok lepas habis kelas. Cuti seminggu hehe. Rindunya dengan Naufal!" 

"Heheh Naufal pun dah rindu dengan mak usu dia. Nanti kak Ana buatkan resipi baru.. jemput-jemput oh cekodok ceria.. kehkeh." 

Haha. Aku ketawa. Hilang sekejap lenguh kat leher, usai membaca kumpulan cerpen Usman Awang - Kami Yang Terlibat . Dah la tengah lapar, terus terbayang cekodok paling sedap yang kak Ana buat. huehue ^^

esok pulang menemui cinta. ♥

Sabtu, 02 Februari 2013

Di Pesta Buku

Assalamualaikum.

Jumaat.

Aku dan Taty akan cepat-cepat lari bila ada maskod datang ke arah kami. Lagi-lagi maskod yang berkepala harimau. 
Semalam aku dan Taty berjalan-jalan ke Karnival Karangkraf di Shah Alam. Niatnya hanya mahu mencuci mata melihat buku saja memandangkan sekarang tengah out of budget dan baucer buku pun tak dapat lagi :'( Novel-novel popular bertimbun, novel-novel keluaran lama dijual semurah RM5 dan RM10! Peminat setia novel alaf mesti dah borong berbakul-bakul. Kalau enam atau tujuh yang lalu masa zaman sekolah mungkin aku akan rambang mata dengan novel macam tu.

kenapa?

aku dulu bermula dengan membaca novel cinta popular sebelum aku mengenali dunia sastera. 

novel-novel cinta adalah tarikan utama para pelajar untuk berkunjung ke perpustakaan sekolah. Dulu masa aku jadi perpustakawan, sekolah banyak membeli berbakul-bakul novel popular. Rak-rak buku banyak dipenuhi dengan novel sebegitu dan realitinya, rak yang menempatkan novel popular itulah yang selalu menjadi tarikan pelajar untuk meminjam.

"Kalau tak ada novel macam tu, budak-budak sekolah ni tak masuk library agaknya." - kata Cikgu Zarina sambil mengeluh. 

hmm.

itu hakikat. Tapi sekolah sepatutnya menyediakan buku-buku yang berkualiti untuk tahap umur, pemikiran dan keperluan pelajar dan mengurangkan novel cinta picisan. Kita pun kena tahu bukan semua pelajar minat dengan sastera. Mereka suka membaca, tapi bacaan yang bermakna tapi santai. Disebabkan kami budak sains, kami suka baca novel-novel Hlovate yang karyanya selalu diselitkan dengan nota tambahan Kimia, fizik dan addmaths. Aku sangat hargai KOMSAS, kerana menyeimbangkan situasi yang berlaku pada masa tu.

"Novel popular mempunyai khalayaknya sendiri dan novel sastera serius mempunyai pengikutnya yang tersendiri." - Sri Diah.

"Soal sastera picisan atau novel cinta popular, jika tidak kalian mahu dekati mereka dan menunjuk arah, usah pula dicemuh. Selagi bacaan itu mengundang "rasa" (yang tidak seharusnya ditafsirkan hedonisme semata), ia telah membina nilai dalam diri. Dakwah pun ada peringkat dan khalayak pada cara dan usahanya, demikian sastera." - Wan Zaida. 

sumber: fesbuk. 

buku tetap buku. karya tetap karya. cuma yang membezakan antara keduanya adalah nilainya. yang penting, kenalah pandai pilih buku. Setiap buku ada ilmu walaupun sedikit. 

paling best bila shoping buku di kedai buku yang ada aircond. Bila suasana dan tempat sejuk dan selesa baru la ada feeling nak bercinta dengan buku. hehe. Tengah hari tu panas membahang, dan gerimis turun di hujung petang. alhamdulillah

Sabtu. 

Booth ITBM yang selalu menyediakan buku-buku dambaan hati.

Pesta yang paling best adalah pesta buku. Lagi best bila dapat shopping, jalan-jalan tengok buku dengan kawan yang sama jiwa, yang sama-sama pencinta buku, pencinta ilmu. Lagilah best bila ada kawan yang sama-sama suka genre buku yang kita suka, yang jadi guide untuk mencari booth sambil menunjuk, mencadangkan dan pada masa yang sama jadi promoter buku untuk memilih buku-buku yang best dan bagus untuk dibaca. Terima kasih kak Jamilah yang baik hati. Terima kasih Taty dan Adah yang sudi menemani. Terima kasih abang Pitri yang katanya nak bagi buku yang dah lama kita cari :D 

Pesta buku 1Msia tak la semeriah pesta buku antarabangsa. Ruang booth pun tidak terlalu banyak. Dan sebenarnya ada beberapa buah buku yang dicari tapi sudah kehabisan stok. hmm. Apa pun, ia tetap best buat para pencinta buku! 

Oklah, sekarang nak save bajet untuk kliBF 2013 bulan April nanti. :) 

p/s: semasa membelek-belek buku yang ingin dibeli, tiba-tiba bertanya pada diri, bila nak tulis buku sendiri? 

err 


Nur Suhada, sila jawab dalam hati. Satu hari nanti. Semoga Tuhan merealitikan mimpi. Semoga.