Senin, 31 Desember 2012

Cerita Akhir Tahun

Assalamualaikum.

Sinar mentari 1 Januari 2013 sekejap lagi menjengah tiba. Alhamdulillah. Berlalu sudah 2012 yang menghimpunkan bermacam kisah manis dan pahit, pengalaman dan kenangan yang aku lalui yang tidak mungkin akan aku ulangi kembali pada tahun sebelumnya mahupun tahun selepasnya.

2012 yang bermakna.

Selepas aku menyertai MPR 2011 dan sesudah aku menyambung pengajian ke Aswara, tahun 2012 adalah tahun yang penting buat aku kerana kembaraku di daerah penulisan bermula di sini, bermula pada tahun 2012. Melihat kembali tugasan-tugasan yang meliputi karya sastera yang ditukangi sepanjang berada di Aswara membuatkan aku amat menghargai setiap detik yang aku lalui untuk menimba sebanyak mana ilmu dan pelajaran. Dan memang, semakin aku belajar menulis, semakin aku berasa kerdil kerana ilmu penulisan dan sastera itu terlalu luas dan terlalu dalam untuk digali.

Kemudian, aku membelek semula karya cerpen yang tersiar sepanjang tahun 2012;

  • Aya Sofia, TC Mac
  • Suara Dinding yang Bergema, TC Julai
  • Senandungkan Gurindam Itu, Mingguan Msia September
  • Hatiku Menangis di Madrasah, Harmoni Oktober
  • Ketika Angsana Mengelopak, Wadah Siswa Oktober
  • dan artikel ‘KSR’, Mastika Disember

Permulaan yang hanya beberapa kerat. Namun alhamdulillah syukur. Perjalanan yang kupilih ini semakin berliku, semoga ketabahan semakin kuat tersemat di kalbu. Perjalanan di denai penulisan, ya tak semudah yang disangka. Tapi di penghujungnya ada keterujaan, kepuasan dan kebahagiaan yang selalu datang tak disangka-sangka.

Kembara kita dari tahun ke tahun dapat diumpamakan seperti puisi ‘Dari Pelabuhan ke Pelabuhan’, karya Zaidin Abadi;



sebuah kapal belayar
di tengah lautan
sarat muatan
dari pelabuhan ke pelabuhan.

antara debur ombak
dan jerit taufan
kapal tegap gagah
mengharung gelombang.

kita wajar belajar
menempuh cabaran
dengan tabah dan gigih
bagai kapal di tengah lautan
kerana perjalanan hidup ini
umpama meninggalkan
sebuah pelabuhan
ke pelabuhan yang lain.


* * * 

Perencanaan 2013?

Tidak lain dan tidak bukan adalah aku harus lebih istiqamah dalam pengajian – yang dalam perjalanan ke peringkat klimaks ini. Semakin ke penghujung sem, semakin mendidik diri untuk dewasa dalam menangani dan menghadapi apa jua perkara dan kemungkinan yang mendatang.

Dewasa? 

Aii menulis pun masih contengan budak-budak, apatah lagi orangnya. Tambah-tambah bulan Januari adalah bulan yang paling bermakna, paling mengujakan sebab 2 Januari bufday kakak tersayang dan empat hari selepasnya adalah hari…

hmm? biarlah rahsia. hee

Tapi aku tahu, dewasa tidak hanya diukur dengan usia. Pengalaman yang akan malah (lebih) mendewasakan kita.


Sabtu ini harus berangkat pulang ke kota. Bukan harus tapi wajib. Di akhir cuti ini, biasalah penyakit malas nak balik tu memang sentiasa datang. Jadi aku ingin meminjam semangat dari anak-anak sedaraku yang gembira sakan dan tak sabar benar nak masuk sekolah semula. Dari hari tu kerjanya dok menayang ke sana sini baju sekolah baru, beg baru, kasut baru, kotak pensel baru, songkok baru… semuanya baru! Hehehe teringat zaman sekolah dulu. Tak ada beza dengan sekarang, sama saja dengan aku (…dan kita?). Memang tahun baru, semuanya nak baru! Kannnn ^___^

Baiklah. Sekian.

* * * 

 
10.15pm,
pinggiran desa Batu Pahat.

Rabu, 26 Desember 2012

Diari Cuti











"Menikmati indahnya alam anyaman Ilahi, 
 kenangan semalam yang sehijau sawah padi,
sedangkan hari esok masih penuh dengan teka teki,
kala detik waktu ke usia senja kian menghampiri,
bila-bila masa pulang menghadap Ilahi." 

Nur Suhada,
Langkawi, 22 Disember 2012. 

Senin, 17 Desember 2012

Antologi Puisi dan Cerpen MPR 2011 - Kalam Pertama


Jemariku menari-nari dengan mata kalam
kekeliruan menghenyak kotak memori
sehinggalah kutemui konklusi
kerdilnya aku dikelilingi geroda.

- Puisi Kalam Pertama, karya Norsharina Al’azmi –

Assalamualaikum. 

Di penghujung program Perhimpunan Alumni MPR, Antologi Cerpen dan Puisi karya peserta Minggu Penulis Remaja 2011 iaitu Kalam Pertama telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad. Antologi ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Alhamdulillah dan syukur.

Dua buah karya cerpen dan tiga buah puisiku yang aku tukangi sepanjang dalam program MPR termuat dalam antologi itu bersama karya-karya teman MPR yang lain. Dua buah cerpen itu iaitu Hatiku Menangis di Madrasah dan Ketika Angsana Mengelopak sebelum ini sudah disiarkan di majalah Harmoni Oktober dan Wadah Siswa November.

Ketika dihadam kembali semua karyaku itu memang banyak kekurangannya. Bila aku melihat semua ini dan memang, proses mendaki tangga kedewasaan (dalam karya) itu bukannya mudah. Namun aku tahu itu semua adalah satu permulaan. Karya-karya pertama itulah yang menjadi inspirasi untuk aku meneruskan gerak kerja dalam meningkatkan paras kematangan dalam karya dan daya kepengarangan melalui pelbagai usaha dan ilmu yang ditimba. 

Kalam Selat Melaka - MPR 2011

Kalam Pertama – ilham hati Kalam Selat Melaka.

Terima kasih kepada para pembimbing – Kak Salina, Kak Nasriah, Abang Lutfi dan Abang Shamsudin atas ‘laluan baharu’ yang telah dibukakan jalan seluasnya untuk kami menentukan hala tuju.

Tahniah dan syabas kepada teman-temanku sekalian, MPR 2011. Jadikan Kalam Pertama sebagai permulaan yang mengilhamkan, pemangkin semangat untuk terus giat berkarya.

Minggu, 16 Desember 2012

Perhimpunan Alumni MPR ke-2 2012

Assalamualaikum.

7 Disember 2012 | UIAM Gombak.

Aku, kak Ecah dan Wafa tiba di UIA di pertengahan malam. Sejak awal lagi kak Jamilah sudah mempelawa dan bertanya bila mahu ke UIA. Jadi bila datang peluang inilah masanya untuk ‘berbalas kunjung’ selepas kak Jamilah datang ke ASWARA beberapa bulan yang lalu. Aku tidak sempat untuk ‘mengembara’ ke setiap bangunan dan tempat yang ada di UIA yang berdiri megah dan menenangkan ini kerana pagi keesokannya kami (aku, kak Jamilah, kak Ecah, Wafa, Naimah dan Faiz) bergegas ke DBP untuk ke Melaka pula.

Yang penting, ya, UIA – Ini aku sudah datang. ;D

8-9 Disember 2012 | Shah’s Beach Resort Melaka. 


Diskusi karya mantan peserta MPR - Al Ghazali Sulaiman, Salina Ibrahim, Amaruszati Rahim dan Nurul Farehah Jaamad

Ketika tiba di tempat program, sedari turun dari bas sampailah tiba di ruang makan spontan kenangan setahun yang lalu menjengah. Ketika melihat chalet, pondok, buaian kayu, persisir pantai dan setiap inci tempat ini pantas menggamit kembali nostalgia yang pernah mekar merimbun dan tidak pernah layu. Perasaan itu juga turut dirasakan dengan teman-teman MPR 2011 lain yang berpeluang hadir sama tambah bermakna.

MPR tahun 2011 yang lalu, kami datang dengan ‘tidak punya apa-apa’. Betapa segala perkongsian ilmu yang ditekuni, pengalaman yang didapati, kenangan yang diperolehi, karya-karya yang ditukangi memaknakan ahli-ahli Kalam Selat Melaka yang baru menapak di dunia sastera.

Dan kini, kami kembali ke tempat yang penuh mengilhamkan dan mendamaikan hati dalam program Perhimpunan Alumni MPR kali ke-2. Sesi ‘Jejak Kasih’ yang menemukan dan memperkenalkan dengan keluarga MPR yang lain. Juga sesi ‘Jejak Rindu’ yang kembali mengakrabkan antara kami - penulis-penulis Kalam Selat Melaka walaupun tidak semua yang hadir. 



"Dunia aksara telah menemukan kita semula di tempat bermulanya perjalanan kita kan Su?" bisik Naimah kepadaku sambil tersenyum ke arah kamera.

Kak Jamilah - yang sentiasa disisiku seakrab pasir dan pantai, sesetia malam dan siang.

Aku dan Naimah bersama kak Masturah - MPR 2010

Bersama Wafa dan kak Aishah kala menikmati kesetiaan ombak menghempas pantai.

Aktiviti?

Dua hari yang terhad diisi dengan secukupnya dengan aktiviti sukaneka, santai sastera, diskusi karya mantan peserta MPR (Nisah Haron, Amaruszati Noor Rahim, Nurul Farehah Jaamad dan Al Ghazali Sulaiman) dan juga forum – Perkembangan, peluang dan hala tuju mantan peserta MPR (Tn. Hj A Rahim Abdullah, Ahmad Patria Abdullah, MF Kencana dan Puan Norimah Bajuri). 


Dalam santai sastera malam itu, kumpulan kami membuat persembahan yang masing-masing mendeklamasi puisi, pantun dan melagukan gurindam. Alhamdulillah, kumpulan kami merangkul johan. Oh ya, dalam acara sukaneka kumpulan kami mendapat tempat ke-2 walaupun sebenarnya akulah peserta yang paling tak pandai meniup belon. Belon warna pink yang paling kecik, akulah yang tiup tu. Heh ^^ 





Kumpulan kami - dari kiri - Amir, kak Nabiha, Fatimah, aku, kak Farahin dan Al Ghazali

Sajak ini aku deklamasikan semasa persembahan ‘Santai Sastera’. Puisi Pertemuan. Pertemuan berlaku yang mendekatkan, pertemuan berlalu yang memaknakan. Terima kasih semua. InsyaALLAH moga bertemu lagi nanti. :)

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.

Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.

T. Alias Taib.

Senin, 10 Desember 2012

Permulaan




Alhamdulillah, selesai tugasan skrip drama televisyen (telemovie) untuk sem ini. 

Tugasan terakhir sebelum berakhirnya semester tiga. 
Permulaan pertama yang sungguh banyak kurangnya, sana sini lompangnya.

Tak apa, biar kelam pada awalnya namun celik pada akhirnya.

Ada suka, duka dan bermacam rasa saat menelusurinya 
babak demi babak hingga ke hujung cerita. 

Skrip, ada bahasa yang punya makna, visual yang bercitra warna. 

Sebuah perjalanan nan panjang menjunjung kebenaran di batas waktu nan sementara.

Langkah yang diatur baru setapak, teruslah menapak menjelajah dunia yang serba luas, tidak berpenghujung. Dunia penulisan. Dunia cinta.

Dan esok, kembali pulang memugar kecerlangan desa. 
Jangan leka dengan nikmat 'kelapangan' sesudah kesulitan.
Ya ya, selain menikmati kabus pagi dan deru angin malam,
harus dilunaskan beberapa misi yang selalu tergendala;
- bercinta dengan buku, berkasih dengan karya untuk diri dan kalbu!
Eheh.

Malam ini, ada tunas kelegaan yang bercambah, ada senyum syukur yang merekah. :)

Rabu, 05 Desember 2012

Cerita Selepas Exam

Assalamualaikum.

Aku menaip entri ini dengan lapang dada, dengan senyum berbunga ceria. Exam selesai sudah semalam. Bahagianya tak tergambar dengan kata-kata. Hehe. Alhamdulillah syukur, selamat bermula dan berakhir pengajianku untuk semester ini. Begitu banyak yang aku timba, yang aku terima - baik ilmu, pengalaman dan bermacam kenangan. Walaupun aku rasa waktu enam bulan tu macam enam hari. Sekejap sangat. Macam tak sempat nak belajar tulis skrip. Tulis treatment pun tak lepas lagi, ngehehe. Tak apa, next sem ada lagi insyaAllah. Makanya aku harus hargai detik-detik semester tiga yang aku lalui ini dengan memanfaatkan segala yang diperolehi dengan penuh ilmu, makna dan hikmah. :')

Selepas exam...

"Mak, periksa dah habis. Nak balik! Nak balik!" 

dah tak ada benda yang difikir selain nak balik. hahaha

"Nak balik sendiri ke nak ambik?" 

"Mak ambiklah..." 

"Iya... tapi kata hari tu ada kerja yang belum siap?" 

"Aaaaa aah, tinggal lagi satu. Minggu depan hantar." *mulai sebak. punah harapan nak balik cepat. iskk T___T

Baiklah, sekarang ni aku harus bertapa semula untuk menyiapkan satu tugasan akhir sebelum pulang. Penulisan Skrip Drama Televisyen - 90 halaman. Jadi, benarlah ketika aku di hujung exam, di hujung kuliah, di hujung tahun, hakikatnya ada yang baru bermula. Tulis tulis tulis, skrip skrip skrip! :D

Berbanding menulis skrip drama pentas (yang selamat dihantar semalam), penulisan telemovie walaupun lebih kompleks tapi rasa 'penyatuan jiwa dan ilham' itu berbeza. ecehh. Untuk mempelajari penulis skrip, semuanya harus bermula memahamai struktur Aristotle Poetics (kaedah bagaimana mencipta plot sebuah cerita dramatik). Peka terhadap nilai intelektual dan emosional dalam karya itu juga perlu sentiasa ada. Yang ditulis bukan sekadar cerita, tentunya makna yang lebih utama.

Selepas membuat sinopsis dan menyediakan latar watak, bermulalah proses membuat treatment 70 babak. Ha di sinilah kita akan lihat perjalanan cerita babak demi babak. Macam storyboard jugalah, melalui treatment, isu-isu masalah jalan cerita dapat diselesaikan dan dapat mengenalpasti kesilapan dan kelemahan dalam setiap babak. Tengok ajelah treatment aku, ada yang ditanda dan ada anak panah berserta contengan tulisan kecil. Hehehe terima kasih Kak Jas atas tunjuk ajarnya. :') 



Sambil membuat pembetulan treatment, aku cuba membayangkan kalau babak demi babak yang aku lakarkan ini divisualkan di skrin. Hehh berangannnn ^^

Seronok belajar tulis skrip dengan Kak Siti Jasmina yang sporting. Sesuatu yang baru sebenarnya apabila idea tidak lagi diterjemahkan melalui prosa tapi melalui skrip. Semasa menulis, aku selalu ingatkan diri sendiri jangan tulis ayat panjang lebar, berjela-jela macam tulis cerpen tu. heee

Oklah, aku harus hanyut dalam muara karya. Harapnya, dapatlah merasai katarsis seperti yang dinyatakan oleh Aristotle  sebagai (perjernihan emosi dan spiritual). Selamat malam dan selamat menulis. :)

Sabtu, 01 Desember 2012

Menulis Skrip Animasi

Assalamualaikum. 

Proses animasi bermakna menghidupkan atau memberikan gambaran bergerak kepada sesuatu yang statik agar kelihatan hidup dan dinamik. 

Proses menulis skrip animasi;
i) Sinopsis
ii) Pitching ideas
iii)Pengembangan cerita dan watak perwatakan
iv) Skrip

Skrip animasi berbeza dengan skrip drama kerana animasi banyak menggunakan situasi pergerakan yang pantas dan mencemaskan. Wataknya pula bercakap pendek, laju, padat dan sepintas.

Aku juga belajar menulis skrip menggunakan Final Draft yang lebih sistematik dan tersusun. Melalui subjek inilah juga aku mempelajari sedikit sebanyak mengenai shot dan angle seperti long shot, medium shot, close up dll.  

Industri animasi di dunia kreatif ini semakin berkembang kerana skopnya semakin meluas merangkumi bidang perfileman, muzik, multimedia, permainan video, laman sesawang dan realiti maya. Subjek ini banyak memberikan pendedahan mengenai sejarah animasi dan proses penghasilan sesebuah skrip bercorak animasi dari awal sampailah siap satu skrip.

Sejak dari kecik sampailah sekarang, siri kartun dan animasi yang paling aku minat adalah kartun Barbie, Doraemon, Spongebob, The Incredible dan sekarang... Upin dan Ipin! Hehe! Sebab itulah bila pensyarah  (kami panggil: Cek Kamn) minta kami bina satu watak animasi, yang terbayang-bayang dalam kepala adalah;

pejuang superhero perempuan macam watak Helen Parr dalam The Incredible. 
watak anak buah kembar (Syahir dan Syakir) macam Upin dan Ipin yang suka main bola sepak di kebun kelapa sawit belakang rumah.
watak fantasi bidadari atau pari-pari comel menawan macam kartun Barbie. hihi 

Akhirnya, sepakat memilih yang ke-3 sebab masa tu tak boleh tahan tengok kecomelan Barbie di TV3 - Barbie Fairytopia. Siap juga skrip animasi 'Steffa Roses' inspirasi animasi fantasi. Cerita tentang apa tu rahsialah! :) 

 Comel kan kannn!





Dulu, mak ada belikan patung Barbie masa kecik-kecik. Dan abah selalu takutkan nanti Barbie tu hidup sendiri. Sejak tu, dah tak nak beli patung Barbie. Yang kekal sampai sekarang adalah anak patung Cik Ted. :) 

Terima kasih...

Assalamualaikum. 

Sekarang aku sudah jarang mengemaskini entri blog. Tak macam awal-awal dulu, obses bercerita bukan main. Aku anggap dulu blog adalah diari peneman hati yang paling memahami, lembaran paling akrab untuk aku menterjemahkan semula suara jiwa paling dalam yang tak mungkin aku dapat ungkapkan. Bila baca semula contengan-contengan mula-mula dulu tak tahu dah nak cakap apa. Gelak? Ketawa? Berkerut dahi? Garu-garu kepala? Terkebil-kebil? dan sesekali buat memek muka ...eii gediknya aku dulu. Dan sesekali tanya pada diri, aku ke ni yang tulis? Macam-macam yang aku tuliskan. Tulisan pramatang budak sekolah yang tak cukup umur. Akulah tu. huhu ^^

Terlalu banyak kenangan yang kuhikayatkan dalam blog ini. Blog yang aku bina atas nama 'gadis puisi'. Tanpa sedar, aku dewasa dan aku membesar seiring dengan segala catatan perjalanan yang dicoretkan di blog ini. Dan aku lebih selesa menggunakan sudut pandangan 'aku' ketika menulis, mungkin tidak sesuai untuk pembaca yang lebih dewasa dariku tapi dengan 'akulah', yang menjadi mata hati untuk pembaca. 

Aku. Akulah Nur Suhada.

Sekarang? 

Bila melihat semula setiap bait kata yang dilakarkan, aku disumbatkan dengan bermacam pertanyaan - selama ini apa yang aku kongsikan dengan pembaca selain pengalaman? Seberapa banyak yang aku berikan? Ataupun tiada apa sama sekali? 

Haishh

Berdiri di puncak usia 20, tulisan juga harus matang bersama usia. Aku mengharapkan akan ada perubahan dalam setiap kata-kata yang aku susun, yang aku karangkan, yang telah dibaca oleh kalian. 

Jadi, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak pada kalian. Ya, kalian. Kerana sudi melaungkan waktu untuk membaca setiap tulisanku. Biarpun ia hanyalah sekadar contengan. Contengan yang hanya bermakna buat aku dan kalian yang sudi menerimanya. Terima kasih followers. :) 


Kamis, 29 November 2012

kerana kita adalah Laskar Pelangi!

Assalamualaikum. 

Khamis, 29 November 2012 | 12.10pm

Ana, Sue, Taty dan Kakak Shikin

Kadang ada satu hal kenyataan yang perlu kita hadapi namun terlepaskan tanpa kita sangkakan di hujung pertempuran. Haruskah kita mengalah dengan hanya satu kesilapan yang sebenarnya boleh dihidupkan kembali dengan satu... semangat? Ya, semangat.

...dan harapan. Lilin harapan akan sentiasa menyala.

Pada saat seorang teman sedang hampir-hampir terjatuh, sembilan pasang tangan yang lain harus cepat-cepat menarik tangannya selagi sesempatnya yang boleh sebelum dia benar-benar jatuh rebah. Kerana langit masih belum gelap, malam belum tersingkap.

Sedang kita hampir ke garisan penamat lalu seorang teman tertinggal hanya setapak di belakang, ya kita harus lekas memanggil namanya, hangatkan darahnya biar sulur semangatnya kembali menyala. - "Ya, engkau boleh engkau boleh!"

Dia yang berhenti di tengah-tengah jalan itu harus membuka matanya luas-luas kerana di pintu gerbang itu, ada sembilan pasang tangan sedang menunggu, menghulurkan tangan agar bersambut. Kawan, meninggalkan seorang sahabat terkapai-kapai di belakang bukan jiwa sebenar seorang teman. Bantuan kita cukup, amat-amat cukup dengan hembusan semangat, hembuskan pada indera dengarnya, bangunkan jiwanya yang hampir rapuh. 

...kerana harapan itu masih ada.

Selagi punya waktu, lekas genggam tangan padu. 

Kalian - yang sedang merealitikan mimpi-mimpi di Fakulti Penulisan Kreatif (yang tinggal sepuluh orang), semester-semester yang sudah dilalui dan kenangan yang bakal mampir musim-musim yang menjengah, kita sedang melalui jalan penulisan yang amat berliku  namun tetap seiringan, lalu memang kita perlu saling mencinta. 

...kerana kita adalah Laskar Pelangi




mimpi adalah kunci 
untuk kita menaklukkan dunia
berlarilah tanpa lelah
sampai engkau meraihnya

laskar pelangi
tak kan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah syurga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia
selamanya…

Menulis itu duniaku, dunia kita bersama.


Sabtu, 24 November 2012

...bunga desa sekuntum itu

Assalamualaikum. 

Begini, aku mahu mengingatkan diri sendiri bahawa aku kini sudah berada di penghujung sem, hujung tahun, hujung bulan - lalu apa yang telah kau bawa, kau kaut, kau timba, kau dapati di akhir perhentianmu yang sekejap ini, Nur Suhada? Esok, 26 November yang terang gemilang bermula perjuangan yang menuntut seluruh persediaan. Peperiksaan. Ngee bergetar bila menaip. 

Selalu bertanya pada diri sendiri, kau sudah mempersiapkan segalanya? Tuhan, semoga segalanya dipermudahkan. Amin. 

Jadual waktu
26-5 Disember - masa berperang.
5-7 Disember - masa kembali bertapa. Skrip! Skrip! 
8-9 Disember - jejak rindu teman-teman MPR. InsyaALLAH.  

 Saja letak gambar ni sebab rindu dengan budak-budak kecik tu! :(

4.22AM - Masih bersengkang, angin malam bikin benak melayang. Pagi hampir menginjak ke siang. Baris-baris sajak kucoret di kalam jiwa sambil mendengar lagu Kopratasa - Permata buat Isteriku dan menikmati puisi Usman Awang dan Sapardi *mengilhamkan untuk menyiapkan tugasan! urghh!

BUNGA DESA

Bunga desa sekuntum itu
dilayang angin ke tengah padang
disungkur tongkah dan cabar
dilambung pasang surut iman
dilalai manis khayal

namun takkan cemar bunga desa
walau diranduk buruk cuaca. 


Nur Suhada,
Kuala Lumpur.