Kamis, 21 Maret 2013

Menulis itu adalah cinta.

Assalamualaikum.

kususun aksara dengan tinta
ilham hati dari Ilahi yang dipinta
selembar kisah kalamku bercerita
warnanya bagai pelangi yang tercipta
dari mimpi-mimpi, anganku jadi nyata. 

Tuhan, terima kasih 
menurunkan hujanan kata
yang selalu menguyur adalah cinta
tumbuh subur di jiwa melata! 
.....

Aku sangat rindu pada musim persekolahan yang penuh warna, penuh rona. Kerana detik itu segalanya bermula.

*mengumpul karya puisi dan cerpen. 

Dahulu, waktu yang paling aku tunggu adalah hujung minggu ketika abang atau kakakku membeli surat khabar Berita Minggu (masa tu karya kreatif disiarkan pada hari sabtu) dan karya yang tersisip dalam akhbar Mingguan Malaysia. Aku juga suka membaca majalah Wanita dan Harmoni kepunyaan kakak untuk aku baca cerpen di dalamnya. Kerana terlalu sayang, selepas memastikan yang mereka sudah selesai membaca, aku akan menggunting keratan akhbar ruangan yang ada cerpen dan puisi. Setelah itu, aku tampal dalam halaman kertas lukisan. Habis surat khabar aku kerjakan. Potong di sana di sini. Kalau ada rencana yang menarik pun aku akan gunting dan simpan. Sayang sekali kalau dibiarkan. Kalau disimpan, bolehlah aku buat rujukan di lain hari.

Aku juga akan mendapatkan akhbar Metro setiap hari Selasa kerana masa tu ruangan karya diserikan dengan novel bersiri Nyanyi Sunyi, nukilan penulis dari Johor yang sangat aku gemari gaya tulisannya - Maskiah Masrom. Aku kumpul setiap minggu walaupun tidak semuanya.



Yang aku rasakan adalah rasa seronok kerana mendapat bahan bacaan percuma. Bertambah seronok bila melihat buku lukisanku dipenuhi cerpen dan puisi. Semakin banyak yang aku kumpul, semakin bertambahlah minat yang terkumpul. Aku suka meng'highlightkan' sesuatu ayat yang cantik. Lalu aku salin semula dalam buku catatanku.

Ia memberi aku inspirasi untuk menulis. Ia memberi aku motivasi untuk berkongsi.

Membaca karya pengarang besar, jiwa dan semangatku pun menjadi besar - untuk mengarang. Persoalan 'kenapa aku ingin menulis?' adalah persoalan yang masih belum kukuh jawapannya. Tuhan, aku ingin istiqamah. Betulkan niatku, tetapkan hatiku. Setiap patah perkataan yang aku tuliskan adalah amanahku.

Sekarang, setelah melewati zaman sekolah, aku sama meninggalkan 'hobi' yang telah mencambahkan rasa cinta pada dunia sastera. Aku lupa pada 'tradisi' lama.

Mungkin aku perlu kembali menyambung hobi kecintaanku itu agar cinta itu terus bertunas dan mekar seperti mula-mula aku berkenalan dengan karya.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” 
Pramoedya Ananta Toer



























Menulis itu adalah cinta. ♥

Jumat, 15 Maret 2013

Sahabat Hati ♥


Kata sahabat hatiku;

"Sekarang Su, mencari teman yang boleh memahami diri dan jiwa ini sukar sekali. Sungguh!"

Dia menitipkan padaku sejambak puisi Khalil Gibran. 

Aku mahu menghayati sajak ini sampai aku terlena, kemudian aku mahu bermimpi aku memeluk tubuh sahabat hatiku yang hangat, sama seperti dia selalu memeluk hatiku. Lalu biarlah kami bercinta dengan alam, dengan warna, bahasa dan lagu alam sambil mengarang kisah yang indah-indah... 

di atas gunung agar dekat dengan bintang (lamanya aku tidak menyebut bintang)
di pesisir pantai agar dekat dengan hujung laut
di taman yang ditaburi mekar kelopak bunga


Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia  menjawab:

Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.

Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

Dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.

Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta, tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.

Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?

Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..

Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.
~ Khalil Gibran

Kataku kepada sahabat hatiku;

"Kawan yang jauh itu rupanya yang paling hampir dengan hati kita, teman!"

Kau punya sahabat hati? 

Aku ada. Sahabat terindah yang ALLAH beri.